Mangsa insiden kapal Dayang Topaz dibawa ke Pelabuhan Miri

Iklan
125 kru dilaporkan terjun ke laut selepas kapal penyelenggaraan minyak dan gas karam di perairan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini.

KUCHING - Semua mangsa insiden kapal Dayang Topaz yang terlanggar platform minyak seramai 187 kru termasuk seorang yang meninggal dunia kini dalam perjalanan ke Jeti Pelabuhan, Miri.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya memaklumkan bahawa semua mangsa dibawa oleh kapal-kapal yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, kecuali dua mangsa cedera dalam insiden kira-kira 6.45 pagi tadi itu.

Iklan
Iklan

"Dua mangsa mengalami kecederaan dan telah dipindahkan dari Platform Naga 2 untuk dibawa ke Pangkalan Udara Miri oleh helikopter milik Petronas bagi rawatan lanjut di Hospital Miri," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warganegara Indonesia iaitu kapten kapal dan ‘Chief Officer’ berusia antara 21 hingga 63 tahun.

Iklan

Kapal MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian, akan diiring balik ke Pelabuhan Miri.

Sementara itu, Jabatan Laut dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan kemalangan marin itu berlaku di Latitud 04º 40.00’N dan Longitud 13º 51.00 E’ lebih kurang 7.7 batu nautika (kira-kira 14.3km) dari Kuala Baram, Miri.

Iklan

Kru kapal MV Dayang Topaz iaitu kapal jenis ‘Accommodation Work Barge’ milik DESB Marine Services Sdn Bhd telah menghantar isyarat kecemasan ke kapal Sapura Constructor yang memulakan gerakan bantuan awal.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan dengan bantuan kapal-kapal di bawah seliaan SKO Petronas Carigali Sarawak Operations.

Berdasarkan maklumat awal, insiden berlaku dalam keadaan cuaca buruk yang menyebabkan kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus mengakibatkan kapal tersebut tidak dapat dikawal dan melanggar platform Minyak Baram B.

"Kesan kerosakan akibat perlanggaran ini belum dipastikan lagi. Bagaimanapun tiada sebarang kejadian pencemaran marin dikesan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, empat hilang kapal karam

Empat kru kapal Dayang Topaz hilang, dijumpai