SHAH ALAM - Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) gesa pemimpin politik supaya tidak menjadikan pembentangan Bajet 2021 sebagai medan untuk ‘menggambarkan undi tidak percaya’ kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, kegagalan Parlimen untuk meluluskan belanjawan tersebut berpotensi menjejaskan sumber kewangan kerajaan yang sedang berusaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Katanya dalam hal ini, keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan melaksanakan darurat bagi mengelakkan ketidakstabilan negara seharusnya dibaca dan diteliti oleh semua pihak terutamanya seluruh ahli Parlimen tanpa mengira parti.
"Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani krisis politik kali ini amat dikagumi kerana Seri Paduka Baginda secara jelas tidak berpihak kepada mana-mana parti atau individu dalam membuat keputusan demi kebaikan rakyat dan negara.
"Yang di-Pertuan Agong tetap mempertahankan fungsi 'pembangkang’ di Parlimen tanpa memperkenankan permohonan darurat dan seterusnya membolehkan pihak pembangkang untuk berfungsi di Parlimen.
"Oleh itu, seharusnya ahli-ahli-ahli Parlimen pembangkang ‘bekerja’ dengan lebih bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua ahli politik perlu mengenepikan isu politik dan pertukaran Perdana Menteri buat sementara waktu dengan memberi sokongan kepada perkara-perkara yang penting dan baik untuk rakyat di dalam bajet yang bakal dibentangkan nanti.
"Mereka boleh mengundi ya untuk perkara yang baik, dan mereka bebas untuk mengundi tidak untuk perkara yang mereka fikir tidak baik untuk rakyat.
"Inilah prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.
Pada masa sama, Erwan berkata, situasi politik Malaysia kini lebih terbuka apabila setiap undi ahli Dewan Rakyat adalah penting termasuk daripada ahli Parlimen pembangkang.
"Selama berpuluh tahun sejak merdeka, hampir semua usul yang dibentangkan oleh pihak kerajaan ‘pasti lulus’ oleh undi yang mencukupi dan menyebabkan perbahasan Parlimen serta kritikan oleh pembangkang sering dipandang enteng oleh parti pemerintah.
"Senario politik semasa telah meletakkan tanggungjawab yang lebih kepada pihak pemerintah dalam menghormati fungsi serta kepentingan institusi Parlimen.
"Maka adalah wajar sekiranya, kerajaan Malaysia sekarang tidak memandang remeh fungsi Parlimen seperti sebelum ini,” jelasnya.