Sejam tumpaskan ular sawa batik 110kg

Iklan
Anggota APM mengambil masa lebih kurang sejam untuk menangkap ular sawa yang ditemui di dalam reban ayam di Kampung Santong, Paka Dungun petang semalam (Foto: Ihsan APM Dungun)

DUNGUN - Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun mengambil masa hampir sejam untuk menumpaskan seekor ular sawa batik seberat 110 kilogram (kg) dengan panjang lapan meter di Kampung Santong, Paka di sini petang semalam.

Reptilia itu ditangkap selepas APM menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.59 petang.

Iklan
Iklan

Difahamkan, dalam kejadian itu, kehadiran ular sawa tersebut disedari selepas terdengar ayam berkokok seperti ada ancaman di kawasan reban sebelum pemilik reban ayam tersebut bertindak menghubungi bilik gerakan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan.

Ular sawa batik seberat 110kg yang berjaya ditangkap anggota APM Dungun di Kampung Santong, Paka, Dungun petang semalam (Foto: Ihsan APM Dungun)

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, empat anggotanya dikerahkan ke lokasi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada dalam reban berkenaan.

Iklan

Katanya, anggotanya mengambil masa lebih kurang sejam untuk menangkap reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas.

"Ini adalah ular sawa terbesar dan terpanjang yang pernah ditangkap anggota APM Dungun sepanjang tahun ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Beliau berkata, ular sawa itu kemudiannya di bawa pulang ke bilik gerakan APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).