Jaga kesihatan anak berkhatan: MB Terengganu

Iklan
Dr Ahmad Samsuri memandikan kanak-kanak pada Majlis Khatan Perdana di Darat Pak Chan di sini.
MARANG - Berkhitan, bersunat, ‘masuk jawi’ antara kata nama lain merujuk kepada khatan dan sinonim dengan musim cuti persekolahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini pada hujung tahun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta ibu bapa kanak-kanak yang berkhatan agar menjaga kesihatan mereka.

Paling utama katanya, selain kesihatan anak-anak, ibu bapa perlu menjaga keselamatan mereka dalam keadaan cuaca tidak menentu sepanjang tempoh cuti persekolahan ini.

"Dalam keadaan hujung tahun ini cuaca kadang-kadang panas, kadang-kadang hujan, kadang-kadang ribut, jaga kesihatan dan keselamatan anak-anak kita sempena cuti sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Dun Rhu Rendang yang disertai kira-kira 160 kanak-kanak di Dewan Sivik Darat Pak Chan anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Adun Rhu Rendang itu turut meminta ibu bapa agar mengawasi anak-anak agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tidak selamat agar dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan baik.

Menurutnya, ibu bapa juga disaran menyusun jadual aktiviti anak-anak dengan baik termasuk menghabiskan masa untuk bercuti bersama sekali gus merapatkan lagi hubungan mereka.

"Sebelum ini mungkin sibuk dengan waktu sekolah masing-masing, gunakan ruang ini....Kalau ada ruang untuk ziarah menziarahi...pergilah tapi jaga kesihatan dan keselamatan anak-anak,” katanya.