MERAK Jalanan bukanlah pengikut tegar pertarungan seni bela diri campuran (MMA), tetapi nampaknya nama atlet Rusia, Khabib Nurmagomedov telah menjadi trending di media sosial selepas beliau mengumumkan persaraan Ahad lalu.
Khabib menutup kerjayanya di UFC dengan sempurna. Atlet kategori lightweight itu tidak pernah kalah dalam 29 perlawanan sejak tahun 2008.
Hujung minggu lalu, dia menewaskan petarung dari Amerika Syarikat, Justin Gaethje pada pusingan kedua UFC 254 di Fight Island, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan mengumumkan persaraannya pada usia 32 tahun.
Banyak iktibar yang boleh diambil daripada lelaki beragama Islam dari wilayah Dagestan itu.
Antaranya, beliau dianggap anak yang taat kepada ibu bapa. Beliau bersara pun disebabkan janji kepada ibunya bahawa pertandingan Ahad lalu adalah yang terakhir buatnya.
Kata Khabib, beliau tidak akan kembali ke UFC tanpa arwah bapa yang juga jurulatihnya, Abdulmanap, yang meninggal dunia Julai lalu akibat komplikasi Covid-19.
Khabib juga sentiasa berdoa dan bersyukur. Dalam video-videonya, Merak Jalanan lihat selepas perlawanan Khabib sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di hadapan penonton.
Tidak seperti sesetengah juara lain yang bersikap angkuh, Khabib bersikap sebaliknya.
Presiden UFC, Dana White sendiri mengatakan Khabib begitu berbahaya di dalam octagon, tetapi sangat merendah diri di luar gelanggang tersebut.
Itulah yang membezakan Khabib dengan ramai petarung lain.
Bagaimanapun bagi Merak Jalanan, bersara ketika di puncak adalah tindakan Khabib yang paling berani. Beliau tahu bila masanya hendak berhenti.
Tidak ramai orang sanggup melakukan. Namun, sekali lagi, itulah juga yang membuatkan Khabib dianggap petarung UFC terhebat sepanjang zaman.