MELAKA - Perjalanan hampir lima jam menyelurusi sebahagian Hutan Simpan Bukit Senggeh bagi pendakian ke Bukit Batu Lebah baru-baru ini nyata memberi pengalaman yang cukup berbeza bagi penulis.
Jalur pendakian kali ini membawa keunikan yang tersendiri apabila penulis bukan sekadar berpeluang menikmati kehijauan rimba berkeluasan 1,612 hektar itu, tetapi turut ditemukan dengan beberapa tinggalan formasi batuan semula jadi yang begitu unik.
Antara yang menarik perhatian penulis adalah batu besar berbentuk kapal dikatakan kapal milik Hang Tuah yang karam ketika dalam perjalanan meminang Puteri Gunung Ledang.
"Bermakna adakah dulunya hutan ini adalah laut?," soal penulis kepada pemandu arah Mat Radzuan Abd Razak, 45, atau lebih mesra dengan panggilan Abang Mat.
"Mungkin juga. Kisah itu mungkin mitos, tetapi tidak mustahil sebab ada beberapa orang lama (orang kampung) yang kata ada tali seakan tali kapal atas batu dan mereka pernah lihat.
"Namun sejak saya mula masuk ke sini beberapa tahun lalu, tali itu tak ada," katanya.
Namun, apa yang penulis mahu kongsikan bukannya semata-mata cerita tentang batu kapal Hang Tuah itu, tetapi bagaimana pendakian kali ini membawa satu perspektif baharu pada pandangan mata penulis tentang negeri Melaka itu sendiri.
Sisi hijau ini telah 'membungkus' suasana kesesakan pengunjung seperti kelaziman yang berlaku setiap hujung minggu di lokasi-lokasi wajib jika ke Melaka.
Tidak perlu berbekalkan coconut shake, cukup sekadar air kosong untuk membasah tekak, penulis masih teringat-ingat setiap inci laluan berbukit dan berbatu yang dibawa pemandu arah.
Turut serta bersama penulis adalah Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Rosman Amit yang turut mengakui batuan terdapat di Bukit Batu Lebah merupakan keistimewaan yang ada di situ.
Cabaran rentas empat gua
Penulis berkesempatan merasai salah satu daripada tiga laluan yang terdapat di Bukit Batu Lebah, iaitu laluan pendidikan (education trail) di mana sepanjang laluan sepanjang lebih 5 kilometer, pemandu arah akan menerangkan tentang keistimewaan flora dan fauna yang ada.
Penulis juga bertuah kerana dalam pendakian ini juga turut ditujukkan pokok rare endemik spesies iaitu Paperomia Malaccensis.
Pada masa sama, penulis juga perlu melalui empat gua yang memberikan cabarannya tersendiri.
Untuk melalui Gua Kelambu, Gua Reban, Gua Tiga Tingkat dan Gua Batu Senyum, penulis perlu merangkak seperti kura-kura, dan ada juga perlu memanjat seperti labah-labah.
Laluan ke gua-gua tersebut juga membawa kepada cerita-cerita tersendiri antaranya lokasi bertapa dan tempat pinjam pinggan mangkuk bunian.
Abang Mat yang juga pengurus operasi dan latihan Bens Maju Services berkata, empat gua tersebut adalah antara 10 gua yang telah dibuka setakat ini.
"Di sini terdapat 23 gua keseluruhannya namun hanya beberapa saja yang kita buka untuk laluan kerana bimbang kemungkinan terdapat habitat yang tinggal.
"Untuk masuk ke sini, diwajibkan untuk mengambil pemandu arah demi keselamatan,"katanya.
Tempat ritual padi
Bagi laluan satu Bukit Batu Lebah, batu pemandangan menjadi titik di mana pendaki dihidangkan dengan pemandangan dengan ketinggian kira-kira 200 meter.
Untuk sampai ke puncak pertama ini juga, penulis melalui lebih 70 anak tangga dipercayai tinggalan lama yang dijadikan penghubung penduduk kampung dahulu mengadakan ucapara pemujaan 'semangat padi'.
Abang Mat berkata, berdasarkan cerita orang lama, dahulunya terdapat sawah padi di kaki Bukit Batu Lebah dan upacara ritual itu akan dibuat di batu pemandangan.
"Apabila musim menuai, penduduk kampung akan sembelih kambing dan beberapa upacara lain untuk elak padi tak menjadi atau diserang serangga," katanya.
Antara lain, nama hutan simpan dan Bukit Batu Lebah juga mempunyai cerita tersendiri.
"Dahulu di sini banyak pokok kedondong senggeh kerana itu dinamakan Hutan Simpan Bukit Senggeh.
"Bukit Batu Lebah pula mendapat nama kerana terdapat banyak sarang lebah di atas batu pemandangan," katanya.
Burung enggang jadi tarikan
Selain tiga laluan untuk menawan Bukit Batu Lebah yang berketinggian 450 meter itu, satu lagi laluan yang ditawarkan adalah laluan enggang.
Laluan ini khusus bagi pengunjung yang mahu melihat burung enggang yang singgah di Hutan Simpan Bukit Senggeh ini pada musim-musim tertentu.
Dikatakan enam daripada lapan spesies burung enggang boleh dilihat terbang melalui langit hutan di laluan tersebut.
Selain itu, laluan yang agak singkat ini juga turut menghidangkan pemandangan matahari terbenam.
Bagi merasi pengalaman tersebut, pengunjung perlu mendapatkan khidmat penunjuk arah yang bertugas bawah Batu Lebah Eco Nature Service diuruskan oleh Bens Maju Services.
Bens Maju Services berperanan sebagai konsultan bagi menghidupkan aktiviti Hutan Simpan ini dan telah beroperasi sejak tahun 2017.
Pengurus perancangan dan perhubungan, Bens Maju Services, Nik Zaiman Peel berkata, pihaknya menawarkan khidmat sebagai pemandu arah bagi sekurang-kurangnya lima pendaki yang berminat.
"Di sini juga menempatkan penginapan dan tapak khemah untuk aktiviti berkumpulan secara kecil-kecilan atau dalam skala yang besar," katanya.
Selain itu katanya, bagi memperkenalkan lagi taman eko rimba itu, pihaknya menganjurkan Melaka Nature Fest setiap tahun bermula pada 2018.
Beliau berkata, pihaknya mendapat khidmat nasihat dan sokongan daripada Bahagian Promosi Pelancongan Melaka serta Pusat Pembangunan Komuniti Lestari, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Cahaya lantai rimba
Meniti di hujung catatan, suka untuk penulis kongsikan bahawa penerokaan Hutan Simpan Bukit Senggeh pada waktu malam juga tidak kurang hebatnya.
Aktiviti Nocturnal Walk bagi mengintai kehidupan rimba yang aktif disebalik suasana malam tentunya meninggalkan kenangan bermakna buat penulis.
Bayangkan, ditemani bunyi unggas, ketika pekat malam ditengah belantara tanpa seinci cahaya lampu yang dibawa, pemandangan lantai rimba dilimpahi tompok-tompok cahaya kecil yang memukau.
Itu bukanlah cahaya kunang-kunang, tetapi cahaya yang datangnya dari 'kulat tahi kera' iaitu kulat yang melekat di daun-daun kering terhasil daripada keadaan yang lembab.
Namun kami tidak berkesempatan untuk membingkaikan pemandangan memukau itu kerana ia hanya mampu dilihat melalui mata kasar.
Tentunya ini menjadi antara sebab untuk sesiapa sahaja datang dan menikmati sendiri setiap inci Hutan Simpan Bukit Senggeh ini.
Bens Maju Services
Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, Kampung Bukit Senggeh Selandar, Melaka
No tel: 0189189102