Sedekah dalam keadaan susah lebih afdal

Iklan
Mustafar Mohd Suki

SHAH ALAM - Sedekah paling afdal adalah sedekah yang dilakukan ketika seseorang itu berada dalam keadaan kesusahan.

Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata, perkara itu ada disebutkan dalam satu riwayat sahih apabila ada yang bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan sedekah yang paling afdal.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ketika itu jawapan yang diberikan bukan dinar, bukan emas tetapi baginda menyatakan iaitu dengan ‘kamu bersedekah dalam keadaan susah’.

"Ini menunjukkan manusia ini apabila susah mereka berfikir dua, tiga kali untuk bersedekah. Maka ALLAH beri jaminan supaya ketika senang kamu bersedekah dan ketika susah pun kamu bersedekah, maka ALLAH akan memberi kelebihan yang banyak.

Iklan

"Malah hadis juga ada menunjukkan sedekah dalam keadaan susah juga antara perkara dituntut dari segi syarak,” katanya pada Wacana Al-Quran Siri 7 bertajuk ‘Betul ke lagi susah, lagi perlu sedekah?’ yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf.

Turut menjadi panelis, Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan qari jemputan yang memperdengarkan bacaan al-Quran, Ustaz Husaini Mahmur.

Iklan
Dari kiri, Fazrul, Kuan Chee Heng, Mustafar dan Husaini memegang plakad Wacana Al-Quran.

Mustafar berkata, untuk bersedekah seseorang itu harus faham terlebih dahulu konsep sebenar sedekah itu dibuat untuk siapa dan kerana apa.

Menurutnya, setelah itu baharu seseorang itu dapat memahami kelebihan yang sedang dilakukannya.

Katanya, terdapat satu hadis Nabi menceritakan, satu dirham melebihi 100 dirham (dilipatgandakan) dan apabila sahabat bertanya bagaimana boleh jadi begitu, Nabi berkata dan disebut juga oleh sebahagian ulama bahawa mereka bersedekah kerana keyakinan serta tawakal kepada ALLAH.

"Tapi ramai orang apabila sedekah bertujuan nak senang supaya ALLAH tambah lagi dan kebanyakannya untuk tujuan urusan dunia.

"Contoh dalam pengajian perniagaan, jika nak bagi perniagaan maju orang kata sedekah, jadi tujuan dan niatnya dah silap,” katanya.

Tambahnya, dalam surah Asy-Syura ayat 20, ALLAH berfirman, sesiapa yang buat satu amal kebaikan untuk dapat ganjaran di akhirat, dia akan dapat faedah di akhirat tetapi jika dia melakukan untuk urusan dunia, maka akan beroleh faedah di dunia tapi tidak di akhirat.

"Maksudnya kalau buat urusan akhirat akan mudahkan urusan dunia kita tapi jangan tanam sedekah, infak itu untuk senang tapi untuk raih apa ALLAH beri di akhirat nanti,” katanya.

Selain itu Mustafar berkata, dalam al-Quran juga menyebut, jangan batalkan pahala dengan mengungkit apa yang kamu telah bantu, jaga keikhlasan hati dan jangan menyakiti hati orang yang sudah dibantu.