Prestasi ekonomi dijangka lebih baik

Iklan
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Prestasi ekonomi pada bulan Julai dan Ogos suku ketiga dijangka akan lebih baik berbanding suku kedua walaupun peningkatan semula bilangan kes koronavirus (Covid-19) pada akhir September.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit terus mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 2.5 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia didorong oleh pertumbuhan perdagangan borong.

"Sektor ini pulih secara beransur-ansur tahun ke tahun dengan merekodkan pertumbuhan negatif yang lebih kecil dan dijangka akan terus meningkat pada September.

Iklan

"Berdasarkan Indeks Pelopor (IP) yang terkini, Malaysia dijangka akan terus mengalami fasa pemulihan dengan mencatatkan 108.5 mata pada Ogos dengan kadar pertumbuhan tahunan 7.6 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perspektif ekonomi, jualan pembuatan Malaysia pada Ogos adalah berjumlah RM118.5 bilion berbanding RM119.2 bilion pada bulan Julai tahun ini.

Iklan

"Prestasi perdagangan barangan bagi kedua-dua eksport dan import masing-masing merosot 14.5 peratus dan 2.2 peratus berbanding bulan Julai 2020," katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, eksport barangan Malaysia pada September mencatatkan pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan sebanyak 13.6 peratus.

"Pada masa yang sama, import terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan penurunan yang lebih kecil iaitu 3.6 peratus disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi barangan modal dan penggunaan," katanya.

Katanya, negara yang sedang mengalami gelombang ketiga penularan Covid-19 yang memaksa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdepan dengan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi.

"Negeri tersebut menyumbang 46.6 peratus kepada ekonomi pada tahun 2019. Oleh itu, sebarang perubahan dalam aktiviti ekonomi tersebut akan memberi kesan terhadap prestasi ekonomi negara secara keseluruhan.

"Walaupun begitu, PKPB secara bersasar dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan kesan pandemik dan mendapatkan semula momentum pemulihan ekonomi," katanya.