Pemuda Pas minta kerajaan giat usaha melalui pakej Prihatin

Iklan
Ir Khairil Nizam Khirudin (Tangkap layar hantaran Facebook Pemuda Pas.)

SHAH ALAM - Pemuda Pas mencadangkan kerajaan supaya mempergiatkan usaha membantu rakyat melalui pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dalam Belanjawan 2021.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, Pemuda Pas juga berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank dan memberikan tempoh penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan.

Iklan
Iklan

"Langkah-langkah ini dapat membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini,” katanya melalui hantaran Facebook Pemuda Pas hari ini.

Mengenai kemelut politik yang sedang berlaku ketika ini, Nizam memberi teguran keras kepada parti pembangkang supaya sedar akan realiti dihadapi negara dalam mendepani krisis Covid-19.

Iklan

Menurutnya, semua pihak seharusnya menghentikan politiking dan turut serta bersama kerajaan dalam memerangi wabak berkenaan tanpa mengira fahaman politik.

"Teguran keras kepada parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan sekutu rapatnya, Parti Amanah Negara (Amanah) untuk segera bangun daripada mimpi yang dunia kini begitu mendesak kepada simpati pemimpin dalam mendepani krisis Covid-19.

Iklan

"Keadaan ketika ini bukanlah peluang untuk melanggar keharmonian yang dibina dengan baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, Pemuda Pas juga mendukung penuh kenyataan Pas Pusat yang menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong atas kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menghadapi wabak Covid-19.

Nizam juga mendesak supaya tema memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan kerajaan PN terus diusahakan secara bersama oleh UMNO dan Pas, di samping merealisasikan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam MN.

Kerajaan dijadualkan akan membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November ini pada sesi Dewan Rakyat di Parlimen.