SETIU - Seorang maut manakala empat individu parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 38 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru di Sungai Tong di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa yang maut ialah Abdullah Zulekipli Jusoh, 61, dari Felda Belara, manakala anaknya, Mohd Hasiffuddin, 13, parah dalam kejadian berkenaan.
Tiga individu lain yang turut parah ialah tiga sekeluarga dari Segamat, Johor iaitu Sharifah Fauziah Zani, 40 Tahun; Mohd Muslim Mohd Yunus, 41, dan Nur Insyirah Husna Mohd Muslim, 6.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian itu melibatkan kereta jenis Honda City, Honda Insight, Perodua Axia dan BMW M5.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis BMW dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya lalu berlanggar dengan Honda City dipandu Zulekipli datang dari arah bertentangan.
"Dua kenderaan lain yang turut berada di belakang kereta Honda City itu tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, Abdullah Zulekipli disahkan maut di tempat kejadian dan kesemua empat mangsa yang parah serta pemandu Perodua Axia, Mohd Alghafa Shafiee, 31, yang cedera ringan dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Sek 41(1) APJ 1987.