PETALING JAYA - Polis telah membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew selepas merakam keterangan berhubung hantaran status di media sosialnya yang mempunyai kecenderungan menghasut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Ronnie Liu dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 1 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.
"Sebelum ini kita menahan beliau untuk rakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Ronnie Liu tiba di IPD Petaling Jaya pada jam 10.40 pagi untuk membantu siasatan polis.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina Agong: Polis tahan Ronnie Liu
Semalam media melaporkan Ronnie Liu antara empat individu disiasat berhubung isu menghina Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan tersebut kini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
"Satu siasatan telah dijalankan pada 21 Oktober lalu ke atas akaun Facebook Ronnie Liu.
"Akaun kedua yang sedang disiasat adalah melibatkan ciapan di Twitter Uncle Ireeve pada 25 Oktober lalu yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.