Gali tanah tanam pil kuda

Iklan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas di sebuah rumah Ketereh semalam.

KOTA BHARU - Taktik seorang penganggur menyembunyikan dadah bernilai RM240,000 dengan menanamnya ke dalam tanah sedalam 0.3 meter dan menyorokkan sebahagian lagi dadah itu di dalam reban ayam di belakang rumahnya dibongkar polis di Ketereh di sini semalam.

Suspek lelaki berusia 52 tahun tersebut ditahan sepasukan polis yang menyerbu rumah teres setingkat miliknya pada jam 9.15 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, ketika serbuan, suspek memberikan kerjasama dan pemeriksaan di badannya tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, suspek dibawa keluar untuk disoal siasat, namun pemeriksaan polis menemui empat kawasan di pekarangan rumah itu seperti kesan tanah yang baru digali.

Iklan

"Pasukan polis bertindak menggali tanah sedalam 0.3 meter di keempat-empat kawasan yang dikenal pasti dan menemui 30 bungkusan plastik dalam tin biskut menggandung 18,000 biji pil kuda yang disembunyikan dalam lubang itu.

"Pemeriksaan lanjut dan soal siasat terhadap suspek berjaya membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 24 gram bernilai yang disimpan dalam lima botol kecil di dalam sebuah reban ayam di belakang rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Iklan

Sheik Azhar berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan stor penyimpanan bekalan dadah oleh sindiket pengedaran dadah di Kelantan dan Terengganu.

"Dadah ini dipercayai disimpan di lokasi tersebut sudah tiga hari berdasarkan kesan tanah yang digali.

"Dadah bertujuan diedarkan kepada kira-kira 12,000 penagih di seluruh negeri ini dan Terengganu. Polis giat mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang mempunyai hubung kait dalam kegiatan yang dijalankan oleh suspek ini,” katanya.

Menurut beliau, ujian air kencing lelaki tersebut didapati negatif dadah, bagaimanapun dia dipercayai aktif menjadi pengedar dadah sejak lapan tahun lalu berdasarkan tujuh rekod lampau.

"Hukuman terakhir dikenakan tindakan terhadap suspek ini adalah mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas ) 1985 pada 2013.

"Dia ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheik Azhar berkata, polis sebelum itu menahan seorang penganggur berusia 27 tahun dalam serbuan pada jam 5 petang di Kubang Kerian.

"Suspek dipercayai pengedar dadah jenis syabu seberat 101 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 yang ditemui berada dalam genggamannya.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau tetapi mula aktif menjadi pengedar dadah sejak enam bulan lalu,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain dalam sindiket pengedaran dadah yang dijalankan oleh mereka.

"Masing-masing ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.