ARAU - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerajaan telah mengenal pasti bahawa Perubatan Dalaman Maju dan Akut (AAIM) boleh menjadi antara perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting pada masa akan datang.
"AAIM dilihat sangat sesuai untuk hospital-hospital di negara ini. Penjagaan kesihatan Malaysia adalah satu situasi unik yang mana fokus utama kita adalah untuk memberikan penjagaan terbaik meskipun terdapat kekangan dari segi tenaga kerja dan juga sumber,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Iklan
Iklan
Baginda bertitah pada perasmian ‘The 1st National Ultrasound and Enchocardiography Course In The Era of Covid-19 2020' yang dilaksanakan secara webinar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Heights di sini semalam.
Baginda bertitah, AAIM sesuai dalam usaha memajukan pusat setempat bagi perkhidmatan pakar perubatan yang secara langsung dapat menambah baik tahap rawatan dan penjagaan pesakit secara mendadak.
"Seorang perunding kesihatan akan berupaya untuk menawarkan perkhidmatan daripada pelbagai cabang perubatan - yang diperlukan adalah infrastruktur minimum dan sokongan yang ideal kepada perkhidmatan kesihatan tempatan kita,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Penaung DiRaja Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (MAAIMUSS) bertitah, AAIM merangkumi spektrum kerja klinikal yang luas dalam beberapa ruang lingkup kepakaran termasuk pengurusan kes perubatan kecemasan yang mengancam nyawa, rawatan awal (kritikal dalam tempoh 72 jam), melibatkan penyakit am dan penyediaan rawatan ambulatori. - Bernama
Artikel Berkaitan