Padah jual senjata tiruan di kedai permainan kanak-kanak

Iklan
Jauteh (dua dari kanan) menunjukkan antara senjata tiruan yang dirampas di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

KOTA KINABALU - Tindakan pemilik premis menjual senjata tiruan membawa padah apabila diserbu polis menerusi Ops Laras di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang semalam.

Dalam serbuan bermula jam 2 petang itu, sebanyak 763 senjata tiruan jenis 'blaster gun' bernilai RM16,000 dirampas di sebuah kedai menjual alat permainan kanak-kanak dan sebuah lagi di premis menjual barangan elektrik.

Iklan
Iklan

Difahamkan, senjata tiruan itu dijual dari harga serendah antara RM10 sehingga RM200 kepada penggemar senjata tiruan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang sejak Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama cawangan khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah telah membuat serbuan secara serentak di dua premis berkenaan.

Iklan

"Hasil serbuan di Inanam Kota Kinabalu, berjaya merampas sebanyak 736 berbagai jenis senjata tiruan dan tiga individu ditahan termasuk seorang wanita," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa senjata tiruan pelbagai jenis turut dirampas dalam serbuan di premis jual barangan elektrik di Penampang dan lima individu ditahan termasuk dua wanita.

Iklan
Antara pistol mainan yang dirampas dalam Ops Laras di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati, semua senjata tiruan yang dirampas itu adalah dari China yang dibawa masuk sebagai alat permainan kanak-kanak.

"Senjata tiruan ini dibawa masuk dari China melalui proses biasa iaitu melalui penghantaran kontena dengan menggunakan lesen alat-alat permainan.

"Senjata tiruan ini dimasukkan ke dalam kontena berkenaan dan dicampur dengan alat permainan yang lain di mana dalam serbuan ini dilakukan di premis jual alat mainan," katanya.

Sehubungan itu, lapan individu berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Bagi individu yang telah memiliki senjata tiruan ini diminta menyerahkannya kepada pihak polis dan tiada tindakan akan diambil namun jika polis terjumpa maka tindakan akan diambil mengikut akta yang sama," katanya.