PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan beliau turut mengalami kelesuan akibat tekanan tugas melawan pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga sukar untuk tidur.
Katanya, kelesuan bukan hanya dialami oleh petugas di lapangan.
"Memang (mengalami kelesuan). KP Kesihatan juga terkesan... Semalam tidak boleh tidur kerana mencari jalan penyelesaian terhadap masalah," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.
Menurutnya, biarpun diberi waktu untuk berehat, namun tanggungjawab terhadap tugas memaksanya untuk terus bekerja.
"Kadang-kadang bangun jam 3 atau 4 pagi untuk fikirkan masalah," katanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku menjadi cabaran kepada kesemua barisan petugas hadapan.
"Mungkin kita kena bijak mengatur penggiliran dan memberi masa untuk petugas kesihatan berehat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan portal mengenai ada doktor yang bertugas di hospital di Sabah terpaksa mengambil pil tidur selepas mengalami tekanan mental akibat kerja berlebihan.
Sementara itu katanya, seramai 1,099 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 sejak wabak itu melanda negara pada 23 Januari lalu.
"949 kes mendapat jangkitan dalam di dalam komuniti," katanya.
Terdahulu sebuah portal melaporkan seorang pegawai perubatan yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) di Sabah terpaksa mengambil pil tidur selepas mengalami tekanan di tempat kerja, selain terdapat jururawat yang menangis kerana atas alasan sama.