Lantik kontraktor tangkap haiwan ternakan terbiar

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini meluluskan perlantikan kontraktor khas bagi menangkap haiwan ternakan terbiar yang didapati menganggu ketenteraman serta mengancam keselamatan orang ramai.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melantik sendiri kontraktor terlibat bersesuaian dengan kepakaran mereka.

Iklan
Iklan

"Kita telah bersetuju dengan pelantikan itu. PBT akan melantik kontraktor masing-masing bersesuaian dengan kepakaran untuk mengurus, kaedah menangkap haiwan itu termasuk kesediaan menjaga kebajikan ternakan yang ditangkap dan disita.

"Masalah haiwan terbiar sehingga mengancam keselamatan dan nyawa orang ramai bukan isu baharu, malah enakmen mengenainya sudah wujud sejak tahun 1971. Namun masalah ini terus berlarutan sehingga ke hari ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri memandang serius permasalahan itu yang berlaku di beberapa lokasi seluruh negeri.

"Ia melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya kerana ada haiwan ternakan terbiar ini menyebabkan kemalangan sehingga mengakibatkan kematian. Ketika itu tidak akan ada siapa mengaku ternakan itu miliknya," katanya.

Iklan

Beliau berkata, haiwan yang tidak dituntut dalam tempoh seminggu selepas ditangkap boleh disembelih atau dilupuskan dengan cara atau bagaimana yang ditentukan mengikut budi bicara Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT berpandukan undang-undang kecil kawalan ternakan yang ditetapkan.

"Mana-mana pemilik yang menuntut haiwan ternakan mereka perlu membayar nilai kompaun yang ditetapkan itu, manakala bayaran bagi penempatan sementara haiwan ternakan terbabit sebanyak RM100 bagi lembu atau kerbau, serta RM30 untuk kambing juga perlu dijelaskan oleh pemilik," katanya.