SHAH ALAM - ALLAH SWT telah menyebut dengan jelas bahawa harta bakal menjadi ujian kepada umat manusia, malah penerangan mengenainya turut diperincikan dalam al-Quran secara panjang lebar berbanding perkara lain.
Pengasas Elzr Group & Myclazz.com, Zaharuddin Abdul Rahman berkata, sebagai contoh ayat paling panjang dalam al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah yang menceritakan berkaitan harta di mana ia diperincikan seperti perlembagaan, namun dalam bab duit ia lebih daripada perlembagaan.
"Penerangan mengenainya sangat terperinci sebab itu ayat berkaitan pusaka disebut dengan jelas satu perenam, dua pertiga tetapi yang lain tiada, hatta bab solat pun tidak diperincikan seperti itu.
"Begitu juga ayat yang menjelaskan soal hutang turut dinyatakan iaitu"Wahai orang beriman apabila kamu beli dengan hutang, hendaklah ditulis” sebab apabila berkait soal duit, manusia itu cenderung untuk menipu dan tamaknya luar biasa,” katanya pada Wacana Al-Quran Siri 8 bertajuk Muflis Pada Usia Muda yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Zaharuddin berkata, Nabi juga selalu menyebut sesiapa yang menjadikan harta sebagai objektif utama, ALLAH akan menjadikan kefakiran berada antara dua mata serta menghilangkan rasa tenang dalam kehidupan serta tidak akan datang harta kepadanya kecuali sedikit.
Beliau berkata, sebaliknya bagi orang yang menjadikan harta sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kehebatan di akhirat, mereka akan memperoleh keredaan ALLAH.
Sementara itu, mengulas lebih lanjut, Zaharuddin memberitahu, hanya 35 peratus daripada kalangan rakyat Malaysia dikenal pasti mempunyai kemahiran tentang literasi kewangan termasuk tahu menguruskan pinjaman wang, hutang serta perbelanjaan mereka.
Menurutnya, bukan sahaja kadar literasi kewangan berada di tahap rendah, malah kemampuan mereka mengenal pasti pelaburan yang betul juga tidak ada sekali gus memburukkan lagi keadaan yang akhirnya membawa kepada muflis.
Beliau berkata, dalam situasi semasa ditambah dengan taktik-taktik scammer yang pelbagai dan kelihatan meyakinkan, amat penting untuk rakyat khususnya anak muda memberi penekanan terhadap soal literasi kewangan agar mereka tidak mudah tertipu dengan pelaburan serta kewangan.
"Mereka perlu ada pendidikan tentang soal pelaburan dan kewangan supaya dapat membezakan yang mana pelaburan yang bagus atau tidak.
"Bank Negara umpamanya ada buat banyak pendidikan mengenai perkara ini, tapi malangnya kurang mendapat sambutan kerana ramai yang tak minat atau tak mahu belajar tentang kewangan dan akhirnya ramai jugalah yang terjebak dengan skim cepat kaya, terjebak dengan pinjam duit ah long kerana tak faham atau tak pandai baca kontrak dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Zaharuddin berkata, bagi yang terlibat dalam pelaburan mereka juga perlu ada ilmu untuk bukan sahaja mengenal pasti pelaburan yang betul, tetapi perlu mengetahui cara pengurusan risiko.