SEBAHAGIAN besar daripada kita hari ini, apabila bangun sahaja daripada tidur pasti telefon bimbit yang dicapainya dahulu.
Bila bangun tidur buka media sosial, sebelum tidur pun begitu juga. Seolah-olah jadi tabiat pada manusia zaman moden hari ini, termasuk saya.
Kena update status dalam diari terbuka yang boleh dibaca, dikomen dan like beramai-ramai, baru terasa seronok hidup ini.
Saya sendiri tidak pasti sama ada menggunakan aplikasi media sosial ini tabiat baik atau buruk. Apa yang nyata, ledakan pelbagai aplikasi media sosial pada zaman teknologi ternyata telah banyak mengubah gaya hidup kita berbanding 20 tahun lalu.
Ketika zaman persekolahan dahulu, apabila bangun daripada tidur, saya akan terus mencari surat khabar. Kebetulan arwah atuk memang melanggan akhbar Utusan Melayu pada setiap hari.
Surat khabar ini sudah tidak ada sekarang, sudah ditutup penerbitannya. Utusan Melayu adalah akhbar tulisan Jawi.
Tabiat saya ialah saya akan baca dari belakang dahulu kerana pada ketika itu saya lebih suka dengan ruangan sukan daripada politik.
Kadang-kadang terpaksa berebut surat khabar dengan arwah atuk. Arwah atuk kalau baca surat khabar memang lama. Dia akan belek dari muka depan sampai belakang, terutama sekali halaman berita semasa.
Terpaksalah saya menunggu kalau hendak membaca. Bermula pada tahun 2006, arwah atuk menjadi pembaca tegar Sinar Harian pula. Mungkin kerana cucunya bertugas dengan akhbar itu.
Berbalik kepada kisah media sosial tadi, memang tabiat saya akan membaca Facebook sebaik bangun daripada tidur. Kata orang, Facebook ini hanya untuk golongan ‘remaja purba’ sahaja.
Sedang leka skroll beraneka status di timeline, saya tertarik dengan satu perkongsian yang menarik dan menyentuh perasaan daripada sahabat saya di Universiti Malaya, Datuk Zaihal Hazri Abdul Halim.
Beliau adalah Pengarah Urusan di Al-Meswak Mu’min, peneraju ubat gigi halal di negara ini.
Ceritanya adalah mengenai seorang lelaki tua berbangsa Tionghua di kampung halamannya, di Yan Kedah. Saya turunkan perkongsian beliau:
Pak Hock merupakan tukang gunting rambut di Pekan Yan. Dengan umur sudah mencecah 70-an, Pak Hock sudah menggunting rambut penduduk setempat melebihi 40 tahun.
Pergaulannya dengan masyarakat Melayu di sekitar Yan sudah seperti orang Melayu. Jika melihat daripada wajahnya, kulit sawa matangnya dan mendengar loghat Kedahnya, pasti sesiapa yang pertama kali bertemunya pasti mengatakan Pak Hock adalah berketurunan Melayu.
Hubungan akrab Pak Hock dengan masyarakat Melayu di Yan, Subhanallah. Pak Hock ada seorang sahabat baik yang sudah seperti anak angkat sendiri. Mereka akan minum kopi O bersama. Pesan satu cawan tapi kongsi berdua.
Semalam, selepas minum kopi bersama Pak Hock, beliau bawa balik bungkusan laksa. Saya diberitahu, Pak Hock akan menghantar bungkusan laksa tersebut kepada seorang Melayu di kampung itu yang memerlukan bantuan.
Sedekah
Pak Hock bersedekah kepada orang tersebut setiap hari. Itu sudah rutin harian beliau. Cerita sedekah kepada orang Melayu ini bukan perkara baharu bagi Pak Hock.
Pernah Pak Hock buat perkara yang sama hantar makanan kepada orang yang memerlukan setiap hari, tapi Pak Hock berhenti berbuat demikian setelah kariah kampung tersebut ambil alih peranan tersebut.
Pak Hock ada tiga orang anak dan seorang daripada anak Pak Hock telah memeluk agama Islam. Adik kandung Pak Hock telah berkahwin dengan Mr Maniam, tukang kebun sekolah saya di KSAH (Kolej Sultan Abdul Hamid) yang juga saya kenali semasa menuntut di KSAH.
Kisah Pak Hock sekeluarga banyak yang boleh diteladani. Keluarga mereka bercampur Melayu, Cina dan India. Mereka lebih awal 1Malaysia daripada kita semua. Semoga Pak Hock dikurniakan kesihatan yang baik, terus memberi khidmat memotong rambut di kedai kecilnya di bawah pokok ketapang di Yan.
Zaihal mengakhiri status itu dengan doa yang perlu sama-sama kita aminkan.
"Semoga Pak Hock diberikan hidayah oleh-Nya di atas kebaikan yang telah dilakukan.” Ameen.