Baki saingan STL tetap jalan

Iklan
Antara aksi menarik saingan STL yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 4 Oktober lalu.

SAINGAN Liga Sepak Takraw (STL) Premier yang ditangguhkan berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 dijangka akan diteruskan pada 13 November depan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang mana ianya dilanjutkan sehingga 9 November.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan, Datuk Akramuddin Abd Aziz, pihaknya akan melihat kepada situasi semasa itu dan pada masa sama akan nasihat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebelum meneruskan saingan STL.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini apa yang boleh saya maklumkan kepada peminat-peminat STL seluruh negara kejohanan ini akan tetap diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini, cuma pada masa ini kita menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini.

"Insya-ALLAH, sekiranya situasi pandemik Covid-19 terkawal, PSM akan menyambung kembali saingan yang tertangguh sejak minggu keempat. Pada masa ini pun pasukan-pasukan STL masih giat menjalani latihan dengan pematuhan tinggi terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan MKN,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Akramuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status saingan STL yang ditangguhkan sejak 9 Oktober lalu.

Untuk rekod, saingan STL musim ini berlangsung di Stadium Titiwangsa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pemain, jurulatih dan pegawai pertandingan.

Iklan

Namun saingan ditangguhkan sementara pada minggu keempat berikutan kebimbangan penularan wabak itu selepas salah seorang pegawai pertandingan disyaki mempunyai kontak ramai dengan penumpang bas semasa perjalanan ke pertandingan, namun bagaimanapun hasil pemeriksaan susulan pegawai itu disahkan negatif.

Ketika ditanya kemungkinan venue baki saingan STL dipindahkan ke Studio Iskandar Malaysia, Johor Bharu sekiranya kes di Lembah Klang terus mencatatkan peningkatan, Akramuddin berkata, pihaknya buat masa ini memberi tumpuan kepada pertandingan di Stadium Titiwangsa.

"Pemindahan lokasi dari Stadium Titiwangsa ke Studio Iskandar Malaysia, akan melibatkan kos yang tinggi kerana sebelum ini kita telah pun membuat persediaan rapi termasuk segala perkara berkaitan dalam pematuhan SOP memutuskan rantaian Covid-19.

"Bagaimanapun PSM akan memutuskan alternatif lain dalam mesyuarat exco bagi meneruskan baki saingan STL 2020 ini sekiranya berlaku lagi peningkatan kes di Lembah Klang sehingga menyebabkan sekali lagi lanjutan PKPB,” katanya.