HARI ini Turki menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-97. Hampir seabad umurnya, namun sambutan kali ini ternyata mempunyai perbezaan yang tersendiri.
Kisah-kisah keberanian pengasasnya yang penuh dengan perbalahan menentang imperialisme, bayangan semangat perjuangan, catatan sejarah tentang kegigihan dan kekuatan yang dimeriahkan lagi dengan perbarisan, kumpulan kugiran serta konfeti adalah sambutan yang lazim.
Namun, kelainan dalam sambutan pada tahun ini merupakan sesuatu yang lahir daripada keadaan semasa. Kini, kebanyakan acara yang berlangsung perlu mengehadkan bilangan undangan dan penyertaannya, selain penjarakkan sosial yang ketat dan paling penting adalah pelitup muka menjadi hiasan peribadi terkini yang paling didambakan.
Setelah dunia diheret ke dalam kancah era baharu Covid-19, Turki untuk kesekian kalinya berpeluang mencabar polisi kemanusiaan antarabangsa, bukan sahaja untuk memanfaatkan kumpulan tertentu, negara atau rantau, malah untuk seluruh manusia sejagat. Virus tersebut adalah musuh yang tidak dapat dilihat yang telah melumpuhkan negara-negara sama ada dari timur hingga ke barat atau dari utara hingga ke selatan tanpa sebarang budi bicara mahupun pilihan.
Tiada sesiapa yang imun, tiada sesiapa yang selamat daripada Covid-19. Kita perlu bersama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan, pertolongan dan panduan. Turki dengan rasa rendah diri tidak pernah berselindung di sebalik teknologi perubatan, pengetahuan, peralatan dan sumber manusia.
Dalam konteks itu juga, tiada ruang untuk dendam politik, persaingan antarabangsa mahupun permusuhan harian yang kita semua biasa lihat dalam hal-hal antarabangsa. Bagi Republik Turki, kesemua hal itu harus ditangguh sehingga ke suatu masa kelak.
Perbalahan, serangan, persaingan boleh ditangguhkan, namun Covid-19 perlu diberi perhatian. Turki menghulurkan bantuannya kepada negara di utara, selatan, timur dan barat. Ya, kepada serata dunia.
Turki yang terletak berdekatan dengan lebih daripada satu pusat penularan pandemik, berjuang menentang musuh yang tidak nampak dalam lingkungan batasannya. Sebanyak enam buah hospital pakar dalam pandemik telah dibina dan dipenuhi dengan kelengkapan dan berfungsi dalam masa yang singkat.
Ada pula yang diubah dengan pantas untuk memenuhi keperluan pesakit pandemik. Kebanyakan orang hidup dengan moto ‘sesungguhnya kehidupan itu boleh sesuai dengan isi rumah’, pendatang baharu perlu menjalani kuarantin wajib di rumah tumpangan yang disediakan pihak negeri.
Mereka disediakan dengan keperluan penting sekurang-kurangnya seperti baju tidur, baju harian, selipar, tuala, peralatan kebersihan dan dapat menikmati sajian makanan tiga kali sehari. Kesemuanya adalah sebahagian sumbangan Republik Turki. Jentera negara berkhidmat untuk tuannya, ‘kami’ adalah rakyat.
Keadaan itu sama di persada antarabangsa. Pertama dan yang paling penting, orang Turki yang merantau ke negara lain tidak pernah terkecuali daripada jenteranya sendiri. Dalam menyelesaikan perkara itu, kepimpinan Turki telah membawa pulang kesemua warganegaranya atas kerelaan mereka sendiri sepanjang krisis itu.
Kebanyakan rakyat Turki yang tidak mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna di negara tempat mereka tinggal telah menyambut baik peluang untuk pulang ke tanah air dengan selamat. Turkish Airline telah melakukan tugasnya dengan baik.
Keseluruhannya, mereka telah berjaya membawa pulang lebih 100,000 warganegara Turki dari 141 buah negara semasa berlakunya penularan Covid-19. Seramai 228 warganegara Turki dari 37 negara yang sedang sakit dan memerlukan rawatan perubatan telah dibawa pulang ke Turki dengan kapal terbang ambulans dan ia juga dilakukan secara percuma.
Terdapat dua kes berlainan di mana Turkish Airline terpaksa campur tangan dalam penghantaran pulang rakyat negara dunia ketiga ke negara asal mereka. Selain itu, Republik Turki telah membantu 158 buah negara lain menentang penyakit berjangkit itu. Sebanyak 18 organisasi antarabangsa telah menjadi perantaraan bagi mengagihkan bantuan dan khidmat dari Turki kepada penerimanya.
Bantuan
Untuk Palestin sahaja, Turki berjaya mengumpul bantuan segera Covid-19 yang berjumlah AS$5 juta (RM20.7 juta). Bertan-tan pakej peralatan perlindungan peribadi dihantar merentasi dunia, dengan di atasnya terdapat pelekat peringatan yang tertulis: ‘Sekilas Harapan daripada Jalaleddin-i Rumi. Selepas kegagalan datangnya harapan dan setelah kegelapan akan datangnya cahaya yang lebih terang.’ Ia ditandatangani dengan nota: ‘Dengan tulus ikhlas daripada Turki kepada rakyat...’.
Usaha Turki tidak dipandang sebelah mata. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memuji usaha Turki melawan Covid-19 sama ada di dalam mahupun di luar negara. Hans Kluge, Pengarah di Pejabat Wilayah Eropah berkata:"Turki merupakan negara yang patut dicontohi oleh negara-negara lain dalam memerangi Covid-19.”
Beliau menambah lagi tentang kemurnian hati rakyat Turki dengan mengatakan bahawa ‘rakyat Turki telah menunjukkan sifat sebenar mereka melalui Covid-19 dan memastikan tiada yang terkecuali’.
Ketua Setiausaha NATO, Jens Stoltenberg memuji tindakan Turki yang menghantar bantuan kepada Sepanyol dan Itali. Negara-negara lain juga menzahirkan rasa kagum mereka terhadap Turki. Kerajaan Britain mengakui bahawa sistem pengesanan yang teliti merupakan faktor di sebalik kejayaan Turki memerangi Covid-19.
Sebelum pandemik mengubah kehidupan kita, Turki pada tahun 2019 telah melakar sejarah dengan menjadi negara nombor satu dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan. Ia tidak memeranjatkan kerana bantuan dari Turki sebelum pandemik sememangnya tidak meminggirkan atau melebihkan mana-mana pihak.
Malah, bantuan yang diberikan kepada setiap orang dan semua yang memerlukan adalah tidak mengira di mana mereka berada. Jumlah bantuan pada waktu itu mencecah AS$8 bilion (RM33.3 bilion).
Satu lagi aspek yang membuatkan Republik Turki lebih menonjol daripada negara-negara lain, mahupun negara-negara yang berpengaruh besar, adalah penerimaannya terhadap golongan pelarian. Turki merupakan satu-satunya negara yang menerima jumlah pelarian yang terbesar di dunia.
Sejak tahun 2011, seramai empat juta pelarian berlindung di tanah Turki yang mengimpikan kehidupan yang lebih baik. Kebanyakan mereka lari daripada kekacauan politik di Syria dan kawasan sekitarnya, dan mereka menemui ketenangan dalam kalangan rakyat Turki. Tidak seperti layanan yang tidak berperikemanusiaan yang mungkin mereka alami di tempat-tempat lain, malah Turki menjanjikan mereka sikap perikemanusiaan dengan hati yang tulus.
Sempena memperingati kemerdekaan negara yang disambut pada hari ini, setiap warga Turki harus berbangga dengan sumbangan mereka terhadap kebajikan dunia. Mengintai daripada alam abadi, pejuang-pejuang syahid yang telah mewariskan republik itu kepada generasi yang baharu pastinya berasa gembira. Tahniah Turki. Satu penghargaan yang selayaknya!
**Dr Merve Safa Kavakci ialah Duta Turki ke Malaysia