MARAN- Seorang pengusaha kolam memancing di Sungai Nerek kerugian RM20,000 selepas ribuan ikan patin di kolam itu mati sejak beberapa hari lalu.
Malah bau busuk sudah memenuhi persekitaran kawasan itu dengan bangkai ikan.
Pemilik kolam, Abu Bakar Hashim, 57 memberitahu, jumlah ikan patin di kolam itu melebihi empat tan dan mendakwa insiden tersebut kali pertama berlaku sejak beroperasi enam tahun lalu.
Menurutnya, beliau bersama Pengurus Kolam, Jamaludin Daud, 47 menyedari situasi tersebut pada Ahad lalu.
"Kami telah menghantar sampel ikan untuk diuji bagi mengetahui punca insiden ini dan diberitahu ia kerana kekurangan oksigen.
"Kekurangan oksigen ini kerana paras air di dalam kolam itu semakin surut dan ia berpunca kerana saliran paip berhampiran pecah disebabkan kerja-kerja pembinaan jalan berhampiran kolam ini," dakwanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, insiden itu telah dimaklumkan kepada pihak terlibat namun tiada sebarang usaha diambil setakat ini untuk mengatasi masalah tersebut.
"Terkilan kerana saya telah memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada pihak terbabit dan tidak beroperasi selama setahun lebih kerana kerja-kerja pembinaan terbabit.
"Malah kerana kesan kerja-kerja yang dijalankan, wayar elektrik pada tiang berhampiran kolam pun putus, jalan ke kolam saya sudah rosak dan berlumpur menyukarkan pemancing-pemancing (pelanggan) dan kami semua," katanya.
Sementara itu, Jamaludin memberitahu, pihaknya terkilan dengan sikap lepas tangan pihak terbabit selepas beberapa kerosakan yang berlaku.
"Bekalan elektrik selepas wayar putus telah dibaiki selepas kami sendiri yang bayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tapi sikap pihak terbabit yang tidak memberikan kerjasama amat dikesali.
"Sekarang ini kami ingin beroperasi semula pada Mac nanti tapi dengan situasi yang berlaku ini, berapa banyak lagi kerugian harus ditanggung dan paip pecah ini pun memang kami kena keluarkan sendiri kos baiki," katanya lagi.
Ujarnya, kawasan seluas empat hektar itu memiliki dua kolam untuk aktiviti memancing.
"Cuma sebuah kolam sahaja terjejas dan nasib baik satu lagi tidak berdepan masalah sama," jelasnya.
Beliau berharap pihak terbabit dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin dan turun padang melihat situasi sebenar yang berlaku di kawasan kolam berkenaan.