Bekalan bawang mencukupi

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bekalan bawang mencukupi walaupun kerajaan India telah mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ pada14 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, larangan berkenaan bertujuan untuk menampung keperluan domestik India akibat bencana banjir pada Julai lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, Thailand, Belanda dan China bagi menampung keperluan semasa rakyat Malaysia.

Jumlah pengimportan keseluruhan bawang ke Malaysia dari Januari sehingga Ogos tahun ini ialah sebanyak 340,202,285 kilogram (kg) bersamaan 42,525,285kg sebulan secara purata.

Iklan
KPDNHEP menjangkakan bekalan bawang mencukupi dan stabil.

"Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu bawang kecil merah import (India), bawang besar import (India), bawang merah (China), bawang kecil merah (China), bawang kecil merah rose (Import), bawang kecil merah import (Myanmar), bawang kecil merah (Thailand) dan bawang besar kuning (Holland),” katanya.

Beliau berkata, terdapat 24 negara yang mengeksport bawang ke Malaysia dan lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (38 peratus), Pakistan (23 peratus), China (16 peratus), Belanda (8 peratus) dan Thailand (8 peratus).

Iklan

"Jumlah pengimportan bawang dari India ialah sebanyak 127,962,177kg dari jumlah keseluruhan pengimportan bawang,” katanya.

Katanya, berdasarkan daripada statistik semasa, rakyat Malaysia secara purata menggunakan 17kg bawang setahun atau 1.4kg sebulan.

"Sepanjang tahun 2020, kementerian ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu bekalan bawang tetapi pemantauan secara berkala dilakukan bagi memastikan tahap keberadaan bekalan mencukupi,” katanya.

Alexander berkata, sepanjang tahun ini, KPDNHEP telah melaksanakan pemantauan bekalan ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah dan 1,039 pemborong terpilih daerah di seluruh negara.

Pengguna digalakkan menyalurkan maklumat melalui saluran seperti portal e-aduan.kpdnhep, call Centre 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan pusat arahan penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/624.