KOTA KINABALU - Sindiran rasuah terhadap AirAsia Berhad berhubung pinjaman RM300 juta daripada Bank Pembangunan Sabah (SDB) dianggap berat.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata, sindiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 'cybertrooper' mereka menampakkan kegagalan diplomasi pentadbiran GRS di mata pelabur.
Menurutnya, Air Asia merupakan syarikat gergasi yang telah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan kos rendah terbaik di peringkat antarabangsa.
"Reputasi baik Air Asia dirosakkan tanpa bukti dan mereka sebenarnya mempunyai hak menyaman pihak yang menabur fitnah," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) turut menjelaskan bahawa dalam perisytiharan Air Asia ke Bursa Malaysia, wang itu dipinjam untuk tujuan membangun dan mengembangkan operasinya di Sabah.
"Perkembangan operasi ini sebenarnya membawa manfaat kepada Sabah termasuk sejumlah RM110 juta akan digunakan untuk menaik taraf Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tidak diguna pakai setakat ini, menjadi sebuah hab logistik udara rantau ASEAN.
"Kami mahu jadikan Terminal 2 sebagai pintu keluar untuk mengeksport produk Sabah ke Semenanjung dan negara lain seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura, China, Indonesia dan Filipina.
"Mungkin GRS tidak sedar, bahawa produk pertanian dan perikanan Sabah seperti nanas, pomelo, pisang dan madu mempunyai permintaan tinggi di pasaran asing," katanya.
Katanya lagi, selain itu, sejumlah RM170 juta akan digunakan untuk membangun rangkaian logistik di seluruh Sabah selain persediaan lokasi untuk mengeksport barangan dari Sabah ke luar negara.
"Kita perlu kargo berhawa dingin, pembungkusan ‘air-tight’ dan sebagainya supaya produk Sabah sampai ke destinasinya dalam keadaan segar," katanya.
Tambah Junz, baki RM20 juta lagi akan digunakan untuk membangun aplikasi OurFarm dan membuat pengiklanan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
"Sejak pandemik koronavirus (Covid-19), kebanyakan perniagaan telah dipindahkan ke platform atas talian. Sebab itu perniagaan 'e-shopping' seperti Taobao, Alibaba, Lazada dan Shopee semuanya semakin berkembang pesat.
"Peniaga yang gagal mengejar arus pemodenan bakal tersingkir daripada persaingan pasaran yang semakin moden dan sengit," katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata, impian membangunkan Sabah sebagai hab pengeksportan serantau mungkin tidak kesampaian kerana kegagalan diplomasi GRS dan dendam kesumat politik.
"Mungkinlah, niat pentadbiran GRS untuk mengembalikan Sabah ke zaman batu, di mana rakyatnya bercucuk tanam untuk makan sendiri sahaja.
"Amat malang kerana proses perindustrian Sabah sudah terbantut. Sabah berpotensi jadi juara serantau, tapi GRS berpuas hati sekadar jadi juara kampung," katanya.