Isu pengangguran anak muda perlu diberikan perhatian oleh kerajaan

Iklan
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan perhatian khusus berhubung isu pengangguran dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya anak muda dalam Belanjawan 2021.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, ekonomi negara berada pada satu tempoh yang sukar lebih-lebih lagi berkaitan dengan soal pekerjaan kerana walaupun kadar pengangguran negara turun kepada 4.7 peratus pada Ogos berbanding 5.3 peratus Mei lalu, komposisi anak muda dalam jumlah tersebut masih tinggi.

Iklan
Iklan

"Walaupun jumlah itu menampakkan penurunan tetapi peratusan anak muda masih ramai. Justeru, melihat kepada Belanjawan 2020, intipati untuk anak muda ialah peruntukan sebanyak 6.3 bilion bagi mewujudkan peluang pekerjaan melalui inisiatif kerja.

"Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah keberkesanan dalam keadaan kita berdepan dengan pandemik Covid-19 ini. Kalau kita lihat graduan universiti yang menamatkan peluang pekerjaan mereka mendambakan pekerjaan tetap dengan pendapatan setimpal dengan kelayakan," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 204 bertajuk Bajet 2021: Apa Anak Muda Mahu? di Dewan Karangkraf.

Iklan

Katanya, jumlah graduan universiti setiap tahun ialah kira-kira 300,000 orang dan mereka menantikan peluang pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan oleh Covid-19.

"Kerajaan perlu melihat bagaimana cara untuk menyediakan peluang pekerjaan ini. Apa yang perlu dilakukan ialah bukan hanya membina peluang pekerjaan makan gaji tapi membawa atau mendorong anak muda ini mencipta peluang pekerjaan sendiri.

Iklan

"Saya nampak untuk 2021 ini, kerajaan boleh sediakan hab keusahawanan belia. Mungkin daripada sudut pendigitalan ketika ini ia bukan sahaja menuntut kita untuk bekerja secara fizikal tetapi dalam talian. Persoalan sekarang ini adakah kita memberi peluang ini untuk anak muda mengasah kemahiran yang dimiliki," katanya.

Menurutnya, gig ekonomi di luar bandar perlu diperkasakan supaya peluang kepada anak muda lebih luas dalam bidang tersebut.

"Kita sering bercakap tentang gig ekonomi untuk anak muda tetapi kita lupa bagaimana dengan capaian kemudahan internet mereka. Kalau di bandar pun ada kawasan-kawasan yang mempunyai masalah, apatah lagi mereka yang berada di luar bandar," katanya.

Jelasnya, inisiatif pinjaman berorentasikan pertanian oleh anak muda juga perlu diperkemaskan dengan tidak mendesak mereka untuk membayarnya dalam tempoh yang singkat.

"Bidang pertanian ini perlu diberikan masa kerana pulangannya mengambil masa yang sedikit lambat. Jangan kita mendesak mereka kerana akhirnya apa yang diusahakan bakal menemui jalan buntu dan kegagalan," katanya.