Status permohonan Pejuang masih tanda tanya

Iklan
Amiruddin Hamzah

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan segera serta jelas mengenai permohonan pendaftaran parti itu yang dibuat sejak dua bulan lalu.

Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, dalam tempoh tersebut, Pejuang telah mengemukakan sebanyak tujuh permohonan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan bertulis daripada Menteri Dalam Negeri mahupun RoS.

"Setelah lebih dua bulan permohonan bertulis dan atas talian lengkap dikemukakan kepada RoS, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda Pejuang akan diluluskan.

Iklan

"Oleh demikian, pihak Jawatankuasa Penaja Pejuang sekali lagi ingin Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah RoS untuk membuat suatu keputusan segera dan jelas agar pendaftaran Pejuang diluluskan mengikut prinsip undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, situasi permohonan Pejuang amat berbeza dengan pendaftaran parti lain seperti Parti Makkal Sakti Malaysia yang lulus dalam tempoh dua minggu, manakala Perikatan Nasional (PN) pula diluluskan dalam kadar segera.

Iklan

"Tanpa sebarang jawapan bertulis adalah tidak munasabah dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa RoS kini kembali menjadi 'alat kerajaan' bermotifkan politik sehingga menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Amiruddin turut menyenaraikan kronologi tujuh permohonan bagi pendaftaran Pejuang.

Kronologi

19 Ogos 2020

Satu permohonan bertulis lengkap dan secara atas talian pendaftaran Pejuang telah diserahkan secara kendiri kepada RoS bagi mendapatkan kelulusan penubuhan.

15 September 2020

Pihak Jawatankuasa Penaja Pejuang menghubungi Pegawai Khas Ketua Pengarah RoS melalui telefon memohon temu janji di antara Setiausaha Agung Pejuang dengan Ketua Pengarah RoS.

28 September 2020

Satu perjumpaan secara bersemuka di antara Setiausaha Agung Pejuang dengan Ketua Pengarah RoS bagi mendapatkan status terkini permohonan pendaftaran.

RoS telah mengajukan cadangan beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Pejuang.

2 Oktober 2020

Pindaan Perlembagaan Pejuang diserahkan semula kepada RoS bagi tujuan lanjut proses pendaftaran melalui kaunter hadapan Aras 9, Pejabat Ketua Pengarah RoS.

12 Oktober 2020

Satu permohonan bertulis untuk mendapatkan status kelulusan penubuhan Pejuang diserahkan di kaunter hadapan Aras 9, Pejabat Ketua Pengarah RoS.

22 Oktober 2020

Satu surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dihantar untuk bertanyakan status permohonan pendaftaran.

22 Oktober 2020

Satu permohonan kebenaran dihantar kepada Ketua Pengarah RoS untuk mengguna pakai lambang parti dan pengendalian laman sesawang Pejuang, selaras dengan Seksyen 6 (2) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang mana memberi kuasa kepada pihak RoS untuk memberi keizinan, sementara menunggu kelulusan penubuhan.