Kontak rapat Covid-19, petugas media diperintah kuarantin di rumah

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Seorang petugas media di negeri ini diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah setelah rakan serumahnya disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19).

Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) dalam satu kenyataan berkata, petugas media yang juga ahli Mutiara itu menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Bayan Baru pagi tadi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, petugas media yang merupakan jurukamera sebuah agensi media tempatan kini sedang menunggu keputusan ujian tersebut dan diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Presiden Mutiara, Imran Hilmy Tawfik Hilmy berkata, tugasan terakhir jurukamera tersebut adalah sidang media Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

Iklan

"Mutiara ingin menasihati kontak rapat dalam kalangan ahli kelab atau rakan media yang lain agar segera mendapatkan nasihat perubatan dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang ataupun menjalani isolasi kendiri di rumah masing-masing.

"Diharapkan tidak ada mana-mana pihak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga keputusan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperolehi," katanya.

Iklan

Beliau sehubungan itu berkata, semua aktiviti kelab yang dirancang dalam masa terdekat ditangguhkan buat sementara waktu.

Semua individu yang menghadiri sidang media Kon Yeow semalam juga dinasihatkan mengurangkan pergerakan luar dan berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Kon Yeow berkata, semua pihak termasuk petugas media perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja atau berada di tempat awam.

Menurutnya, pihaknya telah menghubungi Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib untuk pengesahan serta mendapatkan panduan lanjut.

"Saya dimaklumkan bahawa seorang petugas media telah sah menjalani ujian saringan susulan menjadi kontak rapat kepada salah satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini.

"Oleh itu, semua individu yang berada di sidang media semalam dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan luar, berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar dan pastikan pematuhan SOP ketika bekerja atau berada di tempat awam," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tambahnya, JKN Pulau Pinang juga memaklumkan bahawa arahan kuarantin hanya akan dikeluarkan kepada kontak rapat kes yang disahkan positif Covid-19 sahaja.

"JKN Pulau Pinang akan berhubung rapat dengan Pejabat Ketua Menteri berhubung keputusan ujian saringan dan perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

"Saya minta, jangan tularkan maklumat yang bukan daripada sumber sahih sehingga mencetuskan situasi panik yang tidak sepatutnya," katanya.