KEMAMAN - Dek kerana tidak mampu mengadakan majlis kenduri kahwin, sepasang pengantin baharu menggantikan kenduri itu dengan mendaki Bukit Harimau Menangis di Kemasik di sini, selain untuk merakam gambar perkahwinan.
Namun siapa sangka idea unik itu membuatkan Mohd Zizi Azram dan isterinya Nabila Akma Azman bertukar menjadi popular sekelip mata apabila gambar perkahwinan itu tular di media sosial.
Mohd Zizi berkata, penangan ‘viral’ itu menjadikan permulaan fasa alam rumah tangga mereka berdua yang berusia 21 tahun sangat manis dan momen itu akan terus kekal dalam ingatan hingga akhir hayat.
"Saya tak ada bajet untuk buat kenduri dan memang niat nak kahwin ringkas saja namun pada masa sama saya nak gambar perkahwinan yang ‘rare’ atau lain dari yang lain.
"Sebab itu saya dan isteri nekad panjat Bukit Harimau Menangis dengan pakai busana pengantin dan hasilnya sangat menakjubkan bagi kami,” katanya yang akan genap seminggu bergelar suami esok.
Mohd Zizi yang juga mekanik diijabkabulkan dengan pasangannya di Masjid Bukit Kukuran di sini, pada jam 10 pagi 25 Januari lalu sebelum petang keesokannya mereka berdua melakukan pendakian di bukit itu.
Ketika pendakian, pasangan dua sejoli berkenaan ditemani ahli keluarga, kawan-kawan dan ahli Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas) Kemaman kerana Mohd Zizi adalah ahli badan tersebut.
Menurutnya, mereka mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di atas ‘check point’ ketiga Bukit Harimau Menangis tersebut yang berketinggian 202 meter.
"Walaupun ‘check point’ ketiga itu bukanlah puncak bukit tetapi pemandangannya sangat cantik. Saya dan suami nampak pemandangan seluruh kawasan Kemasik termasuk Kampung Air Jernih.
"Kami rakam lebih 100 keping gambar macam-macam gaya dan ahli keluarga yang tolong ambil gambar kami menggunakan kamera telefon bimbit,” katanya yang tinggal di Kampung Baru Kemasik.
Mohd Zizi berkata, dia dan isterinya tetap berpuas hati dengan mutu gambar yang diambil walaupun hanya mengguna telefon disebabkan tiada bajet untuk mengupah jurugambar serendah RM400.
"Tak sangka gambar itulah yang ‘viral’. Walaupun gambar cuma dari telefon, ia dah jadi tatapan ramai,” katanya yang mengeluarkan belanja sebanyak RM3,000 untuk majlis akad nikah.
Sementara itu, Nabila Akma yang juga juruwang di sebuah pasar raya di Kemasik berkata, untuk sesi fotografi di atas bukit itu, dia dan suaminya hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM350 untuk bayaran sewa busana pengantin.
"Solekan saya percuma sebab adik ipar yang solekkan. Memang kami dapat jimat banyak duit bila ahli keluarga banyak bantu kami ketika ambil gambar.
"Paling kami puas hati bila gambar kami viral, ramai orang tahu adanya bukit ini sebab bukit ini pun baharu dibuka untuk ‘hiking’ awal bulan ini,” katanya.