PEMAIN muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin terus bekerja keras di bumi Belgium bagi memenuhi impian sekali gus membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya.
"Saya dalam keadaan sihat dan berlatih bersungguh-sungguh kerana saya mahu mencapai impian dan buat negara bangga dengan saya. Saya juga mahu rakyat Malaysia gembira dengan saya.
Iklan
Iklan
"Harap semua akan terus menyokong saya kerana saya di sini adalah untuk berikan yang terbaik buat peminat Malaysia dan Belgium...saya selalu berikan yang terbaik,” katanya dalam satu video pendek yang dimuat naik di platform media sosial kelab berkenaan.
Pemain berusia 18 tahun negara itu berlepas ke Belgium pada Ogos lepas setelah menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab KV Kortrijk, milik taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
Dalam pada itu, kelab KV Kortrijk memaklumkan bahawa mereka menghasilkan dokumentari #TheJourneyofLuqie, memaparkan kisah Luqman Hakim menyertai pasukan yang beraksi dalam liga utama Belgium dan akan disiarkan pada Ahad ini.
Luqman Hakim melakar sejarah bola sepak negara apabila muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan di liga utama Eropah, turun sebagai pemain gantian bagi menggantikan rakan sepasukan Petar Golubovic ketika perlawanan menentang RSC Anderlecht pada Sabtu.
Seminggu sebelum itu, Luqman Hakim meledak gol kemenangan ketika skuad Bawah 21 Tahun (B-21) KV Kortrijk menewaskan KFCO Beerschot Wilrijk, 1-0 pada aksi Kumpulan 2 Liga Belgium B-21.