'Ramai penduduk sudah kehabisan makanan'

Iklan
Sebahagian penduduk Taman Semarak di Tawau hari ini berkumpul di kawasan pagar berkawat untuk meluahkan perasaan berhubung kesukaran mereka mendapatkan bekalan makanan di kawasan PKPD.

TAWAU - Sebahagian penduduk di Taman Semarak di sini yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini meluahkan perasaan berikutan kekurangan bekalan makanan di kawasan mereka sejak dikuatkuasakan pada Isnin lalu.

Perkara itu diluahkan menerusi satu video berdurasi 1 minit 17 saat yang tular membabitkan sekumpulan individu dipercayai penduduk Taman Semarak yang berkumpul dan menunjukkan tulisan di kad manila berhubung kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Iklan
Iklan

Mereka merayu supaya dibenarkan membeli bekalan makanan di kedai berhampiran iaitu di kawasan bawah Taman Semarak.

Menurut seorang penduduk, Johny Garakit Goran, 45, ramai penduduk di Taman Semarak mengalami masalah kehabisan bekalan makanan selepas memasuki hari keempat dikenakan PKPD di kawasan terbabit.

Penduduk Taman Semarak di Tawau hari ini menunjukkan tulisan pada kad manila bahawa mereka memerlukan bantuan sepanjang PKPD di kawasan itu dilaksanakan.

Iklan

"Masalah kami sekarang ialah sukar untuk mendapatkan bekalan makanan dan kedai yang berhampiran tidak jauh dari kawasan yang dikenakan pagar berkawat.

"Kami cuma mahu keluar untuk membeli barang bekalan makanan yang tidak jauh dari kawasan ini kerana ramai penduduk sudah kehabisan bekalan makanan. Ada juga yang sudah kehabisan bekalan gas untuk memasak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Penduduk merayu supaya dibenarkan membeli bekalan makanan di kedai berhampiran iaitu di kawasan bawah Taman Semarak.

Iklan

Johny berkata, ada juga pihak yang membantu untuk membelikan bekalan makanan jenis barang basah kepada penduduk tetapi ia tidak diserahkan terus sebaik selesai pembelian.

"Mereka kumpul barangan itu dan hanya diserahkan kepada penduduk pada sebelah malam. Sudah tentu barang basah seperti ikan, daging ayam dan sayur rosak.

"Jadi sukar penduduk berharap pada orang lain melainkan ketua isi rumah perlu keluar sendiri untuk membeli barang keperluan terutama barangan basah," katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata ada mencadangkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kawasan itu membenarkan penduduk keluar membeli barang keperluan di pasar basah terdekat atau membawa masuk kedai runcit bergerak ke kawasan itu secara berkala.

Cadangan itu perlu dilaksanakan bagi membantu penduduk di kawasan itu mudah untuk mendapatkan bekalan makanan sepanjang PKPD dilaksanakan di kawasan itu.

Difahamkan, terdapat lebih 4,000 keluarga menetap di kawasan itu terjejas selepas PKPD dikuatkuasakan.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Semarak bermula Isnin lalu sehingga 8 November depan bagi membendung peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB Sabah dilanjut hingga 9 November