Kerajaan lulus RM65.26 juta dalam tempoh empat bulan

Iklan
Che Abdullah (kanan) melawat ABY Smart Trading yang menjalankan perusahaan ternakan lembu secara fidlot di Kampung Tasek Berangan hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Pembiayaan sebanyak RM65.26 juta telah diluluskan kerajaan melalui Skim Agro Makanan bagi membantu usahawan mikro dan komuniti B40 yang terjejas akibat Covid-19 dalam tempoh empat bulan sejak Jun lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bantuan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disalur melalui Agrobank itu sehingga kini telah memberi manfaat kepada seramai 7,855 usahawan agro sejak dilancarkan pertengahan tahun ini.

Iklan
Iklan

"Selain skim ini, Agrobank turut menawarkan penyusunan semula atau menjadual semula kemudahan pembayaran usahawan yang terjejas tanpa menjejaskan status CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) mereka dan permohonan kemudahan ini dibuka hingga Jun 2021.

"Selain itu, untuk mereka yang tiada atau kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, pihak kementerian juga menawarkan program ‘My Future Agro’ kepada mereka yang berminat dalam bidang agromakanan dan pertanian serta latihan di syarikat-syarikat terpilih,” katanya.

Iklan

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke projek usahawan agro yang menerima pembiayaan daripada Agrobank di Kampung Kok Seraya, Wakaf Bharu dan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas.

Mengambil contoh syarikat di Kampung Kok Seraya yang mengusahakan perniagaan pemprosesan beras, Che Abdullah berkata, syarikat milik bumiputera itu memanfaatkan pembiayaan di bawah skim berkenaan untuk membeli peralatan dan mesin serta mengubah suai kilang.

Iklan

Menurut beliau, perniagaan diusahakan empat beradik itu kini mampu meningkatkan pengeluaran kepada 30 tan metrik sehari berbanding 10 hingga 20 tan metrik sehari sebelum ini. - Bernama