Suu Kyi makin menyimpang daripada jalan demokrasi

Iklan
Suu Kyi

PERNAH digelar sebagai juara demokrasi, sebuah elit yang dianggotai oleh bekas-bekas tahanan politik diperingkat kepimpinan politik Myanmar tetapi kini Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) dituduh melakukan penindasan, diskriminasi dan penapisan maklumat.

Parti NLD itu juga dijangka memenangi pilihan raya yang diadakan pada minggu depan iaitu lima tahun selepas mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu.

Iklan
Iklan

Ia menjadi popular apabila ketuanya, Aung San Suu Kyi memainkan peranan penting dalam peralihan negara itu daripada pemerintahan junta kepada demokrasi.

Suu Kyi juga adalah anak kepada ahli politik yang terkenal di Myanmar, Aung San dan mati dibunuh sebelum berjaya membentuk Kabinet di negara itu pada tahun 1947.

Iklan

Bagaimanapun, para pengkritik kini berkata, NLD masih tidak memberikan keutamaan kepada ahli-ahli yang tidak pernah dipenjarakan ketika memerangi junta tentera yang pernah memerintah negara tersebut untuk diberi peluang mendapat jawatan penting dalam NLD sekali gus mengetepikan peranan golongan muda.

Parti NLD diwujudkan melalui pergerakan pro-demokrasi pada tahun 1988 ketika ia menentang pemerintahan junta tentera yang mentadbir Myanmar dan tidak dipilih oleh pengundi negara tersebut.

Iklan

Suu Kyi yang kini sudah berumur 75 tahun kemudian menjadi popular, dalam kalangan rakyat Myanmar.

Beliau menjadi hero kebangsaan dan menjalani tahanan di rumah manakala kira-kira 10,000 orang dipenjarakan oleh rejim tentera berikutan kepercayaan politik mereka.

Sejumlah penyokong parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi berarak di sebatang jalan raya dekat Mandalay pada 19 September 2020. - Foto AFP

Parti pimpinannya juga telah memenangi lebih 80 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan pada tahun 1990 tetapi keputusan tersebut diabaikan oleh kerajaan junta tentera yang secara rasminya membatalkan keputusan tersebut pada tahun 2010.

NLD memang terkenal dalam memperjuangkan demokrasi di Myanmar sehingga beliau diberikan anugerah Nobel Keamanan 1991.

Partinya itu juga mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen yang diadakan secara bebas buat kali pertama pada tahun 2015 sekali gus berjaya membentuk sebuah kerajaan.

Bagaimanapun, Perlembagaan Myanmar tidak membenarkan Suu Kyi menjadi Presiden kerana anaknya ialah warga asing tetapi beliau dilihat sebagai pemimpin de facto negara itu dan diberikan jawatan khas sebagai Kaunselor Negara iaitu kedudukannya sama seperti seorang Perdana Menteri.

Kemenangan NLP dalam pilihan raya parlimen itu sekali gus menamatkan pemerintahan junta tentera pada tahun 2016 yang telah menguasai negara berkenaan sejak tahun 1962.

Namun, parti tersebut kini dikatakan telah mengetepikan peranan golongan muda dalam jawatan pentingnya.

Seorang wakil rakyat NLD dan bekas pemimpin muda, Aung Hlang Win kini berusia 37 tahun memberitahu AFP, sebelum ini ahli-ahli muda parti tersebut berpendapat akan menjadi pemimpin pada masa depan.

"Namun, malangnya, ia menuju ke arah jalan yang salah," ujarnya.

Secara puratanya, umur 12 anggota yang membuat keputusan penting NLD termasuk pemimpin awam dan ketua parti itu, Aung San Suu Kyi ialah lebih daripada 70 tahun.

Semua mereka pernah dipenjarakan dan diletakkan dalam tahanan di rumah kerana menentang pemerintahan junta tentera.

Anggota-anggota parti yang lebih muda diminta meminta kebenaran terlebih dahulu jika hendak bercakap dengan sesiapa di luar parti berkenaan dan mengemukakan ucapan untuk"ditapis", kata bekas pemimpin muda NLD itu.

"Ia kemudian menjadi satu sistem penindasan tidak ada beza dengan sistem pemerintahan junta tentera. Hanya kerana mereka (ahli-ahli tua NLD) pernah menjadi tahanan politik tidak bermakna mereka tahu mengendalikan negara," tambahnya.

Harapan untuk membawa perubahan musnah untuk kebanyakan aktivis demokrasi di Myanmar yang menuduh operasi NLD tidak lebih baik berbanding parti-parti lain.

Parti-parti politik masih mempersoalkan tentang peranan golongan muda yang mereka mainkan dalam tunjuk perasaan pada tahun 1988, kata seorang aktivis politik, Thinzar Shunlei Li yang berusia 28 tahun.

Tentera Myanmar didakwa melakukan penyalagunaan kuasa di negeri Rakhine yang kebanyakan penduduknya ialah etnik Rohingya. - Foto AFP

Peranan itu dipersoalkan walaupun majoriti penduduk di Myanmar dilahirkan selepas tahun 1980an.

"Ini bukan caranya untuk mengadili seseorang individu. Perjuangan kami adalah berbeza," tambah Shun Li.

Bagaimanapun, ahli-ahli yang pernah dipenjarakan diberi keutamaan untuk meningkat naik dalam kepimpinan parti.

"Ahli yang menjalani hukuman penjara lebih lama di penjara adalah lebih penting. Itu ialah falsafah NLD," kata bekas wakil rakyat NLD, Dr.Thet Thet Khine kepada AFP.

Beliau yang juga berusia 53 tahun dan ahli perniagaan wanita disingkirkan daripada NLD pada tahun lalu kerana melanggar peraturan parti semasa berinteraksi dengan media.

Selepas keluar daripada NLD, Thet Khine mengasaskan Parti Pengasas Rakyat (PPP) dan menjadi pengerusinya sekali gus mengecam pemerintahan parti NLD yang tidak memberikan tumpuan kepada ekonomi Myamnar.

Ramai wakil rakyat dan menteri NLD sebelum ini pernah berkhidmat di dalam penjara termasuk Suu Kyi dan Presiden, U Win Myint.

Sejumlah lagi calon NLD dalam pilihan raya kali ini juga pernah dipenjarakan pada satu ketika.

Ia merupakan dasar parti yang tidak lagi boleh disembunyikan.

Seorang penganalisis yang berpengkalan di Yangon, Richard Horsey menggambarkan bahawa ahli yang pernah dipenjarakan itu merupakan satu tiket kenaikan dalam jawatan NLD.

Dalam pada itu, seorang aktivis bekas Generasi '88, Myo Nyunt memberitahu AFP:"Ahli-ahli lama mempunyi kulit yang tebal manakala ahli-ahli baharu mudah terpengaruh dengan kritikan."

Namun, para pengritik turut menuduh peranan NLD yang tentang mengutamakan ahli yang pernah dipenjarakan untuk meningkat naik dalam parti.

Ini adalah kerana parti tersebut yang diketuai oleh mangsa penindasan politik kini bertindak pula ke atas golongan para penentang tentera Myanmar yang didakwa melakukan penyalahgunaan kuasa di negeri Rakhine yang kebanyakan penduduknya ialah etnik Rohingya.

Seramai 15 orang penunjuk perasaan telah ditangkap dan dua dihukum penjara enam tahun kerana mengutuk penyalahgunaan kuasa tentera di negeri Rakhine.

Seorang pengarah wilayah Fortify Rights iaitu sebuah pertubuhan yang mendedahkan jenayah menentang kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di Myanmar, Ismail Wolff menggambarkan tindakan memerangi kebebasan bersuara di negara tersebut sebagai keterlaluan."

Terdapat kira-kira 537 tahanan politik ketika ini sama ada sudah dihukum atau menunggu perbicaraan, kata pengasas bersama Persatuan Membantu Tahanan Politik, Bo Kyi.

Beliau yang pernah dipenjarakan pada era pemerintahan junta berkata, golongan muda kini berdepan dengan masyarakat yang menyokong sepenuhnya Suu Kyi.

"Kebanyakan orang tidak mahu sesiapa melakukan sesuatu bagi menentangnya (Suu Kyi)," tambahnya. - Agensi