KUNAK - Penduduk Sabah diyakini sudah bersedia dengan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang bermula esok, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, Norazlinah Arif.
Beliau berkata, sejak penguatkuasaanya dilaksana di peringkat pusat pada 1 Januari lalu, penduduk Sabah khususnya belia, turut mengambil inisiatif merokok di luar premis makanan dengan jarak tiga meter dari premis seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Iklan
Iklan
"(tidak dinafikan) Wujud rungutan perokok terbeban dengan larangan tersebut tetapi rungutan ini hanya bersifat peribadi, dan rata-rata perokok ini ada yang bersetuju atas dasar melihat kepentingan hidup bermasyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina bagi daerah Kunak dan Semporna di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Norazlinah yang juga Adun Kunak, percaya penguatkuasaan itu akan mengurangkan jumlah perokok di negeri ini.
"Saya yakin apabila semua masyarakat sedar akan pentingnya menjaga kesihatan, maka jumlah perokok ini akan berkurangan dan dapat menyedarkan kesan kesihatan ke atas perokok pasif seperti golongan ibu dan kanak-kanak," katanya lagi.
Mengulas mengenai program hari ini, Norazlinah mahu semua premis perniagaan mematuhi harga barang kawalan yang ditetapkan dan tidak memanipulasi harga dan jika didapati terdapat salah laku berkaitan harga, masyarakat diminta untuk melaporkan kepada pihak berwajib. - Bernama
Artikel Berkaitan