SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk memberi kelonggaran pelaksanaan akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh Selangor mulai Isnin depan.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, upacara akad nikah tersebut akan dilaksanakan dengan kehadiran dan jumlah temu janji terhad.
Menurutnya, setiap hari hanya lima upacara akad nikah dibenarkan dijalankan di setiap pejabat agama pada Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
"Kebenaran diberikan kepada pemohon lelaki dan perempuan yang telah mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) tahun 2003 dari PAID.
"Hanya tiga orang dibenarkan hadir untuk upacara akad nikah terdiri pengantin lelaki dan perempuan serta wali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, akad nikah yang mendapat kebenaran dari Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan diterima untuk dilaksanakan di PAID
"Kebenaran ini diberikan kepada pasangan dalam negeri Selangor manakala bagi mana-mana pasangannya dari luar Selangor perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa.
"Temu janji upacara akad nikah boleh dibuat dengan menghubungi PAID untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya," katanya.
Terdahulu, JAIS menangguhkan upacara akad nikah di masjid dan surau di Selangor berkuat kuasa 14 Oktober lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.