Muhyiddin tinjau persiapan keperluan kritikal ke Sabah, Sarawak

Iklan
Muhyiddin (tiga, kiri) dan Dr Adham (kanan) ketika melakukan tinjauan untuk persiapan penghantaran keperluan kritikal Covid-19 ke Sabah di Pangkalan Udara Subang yang dikendalikan oleh TUDM hari ini. - Foto Bernama

SUBANG - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau persiapan penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah dan Sarawak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang, di sini.

Muhyiddin tiba di pangkalan TUDM pada 8.15 pagi dan disambut oleh Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Iklan
Iklan

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Muhyiddin kemudiannya diberikan taklimat ringkas oleh Ackbal mengenai penugasan pesawat-pesawat TUDM sebelum melakukan tinjauan proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat A400M oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat dengan penghantaran itu.

Iklan

Pesawat A400M itu membawa 13 tan barangan kelengkapan dan peralatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertahanan, Yayasan Amal Malaysia dan Sunway Healthcare.

Setakat semalam, Sabah adalah negeri yang paling teruk dilanda gelombang ketiga Covid-19 dengan 352 kes baharu daripada 649 kes yang direkod di seluruh negara. Kes Covid-19 di Sabah mencecah 14,053 kes daripada keseluruhan 30,090 kes di seluruh negara.

Iklan
Kelihatan seorang anggota TUDM lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan kerja-kerja persiapan untuk penghantaran keperluan kritikal Covid-19 ke Sabah di Pangkalan Udara Subang hari ini. - Foto Bernama

Antara barangan yang dibawa adalah pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka, baju penutup badan/jumpsuit, skrin wad, troli prosedur, penutup gaun/kasut, kabinet keselamatan biologi, kerusi makmal, sel darah merah dan platelet darah.

Selain itu, peralatan ventilator, sarung tangan getah, pensanitasi tangan, tudung, al-Quran, doa Darussyifa, pakaian dan peralatan.

Pesawat itu berlepas kira-kira pada 10 pagi tadi ke Kuching, Sarawak serta Tawau dan Kota Kinabalu di Sabah dengan jumlah penerbangan akan mengambil masa kira-kira 10 jam.

Semasa tinjauan selama kira-kira 30 minit itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai baraisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal dan memerangi pandemik Covid-19.

Terdahulu, sebuah pesawat C-130H yang membawa lima tan barangan kelengkapan dan peralatan Covid-19 telah berlepas ke Kota Kinabalu dan Labuan, Sabah pada jam 7 pagi tadi.

Bermula 22 Mac hingga 27 Oktober lepas, sebanyak 17 penerbangan atau sortie penghantaran telah dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan sebanyak 433.89 tan metrik.

Antara barang yang dibawa adalah set PPE, pelitup muka, sarung tangan, pensanitasi tangan, peralatan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peralatan hospital KKM, mesin X-ray, mesin bius, ventilator, bekalan farmasi, peralatan memasak dan makanan serta sampel dan kit ujian Covid- 19. - Bernama