PKOB Tawau longgar syarat PKPD Taman Semarak

Iklan
Semalam, penduduk Taman Semarak membuat bantahan aman merayu pihak berkuasa memberi kelonggaran berkaitan SOP PKPD yang dilaksanakan pada 26 Oktober hingga 8 November di kawasan itu.

TAWAU - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau mengambil keputusan mengubah sempadan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Semarak dengan memasukkan deretan kedai berdekatan taman berkenaan yang berada dalam lokaliti PKPD.

Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang juga jawatankuasa PKOB Tawau, Joseph Pang berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PKOB malam tadi supaya penduduk dapat berbelanja di kedai berkenaan yang dibuka 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

Iklan
Iklan

"Seorang sahaja dari setiap rumah dibenarkan untuk berbelanja dan sesiapa yang ingkar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berbelanja termasuk berkumpul beramai-ramai akan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 serta-merta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan dari semasa ke semasa dilaksanakan oleh polis dan kad akses keluar diberikan kepada setiap rumah yang keluar berbelanja sebagai pemantauan pergerakan.

Iklan

Selain itu katanya, bekalan bantuan dari luar boleh dihantar terus ke pos kawalan sama ada di simpang utama Semarak atau Bulatan Semarak Megah, dengan penghantaran dibenarkan dari jam 9 pagi hingga jam 2 petang sahaja.

"Penghantar boleh berhubung terus dengan keluarga terbabit untuk mengambil barang berkenaan mengikut masa yang ditetapkan. Sekali gus SOP sebelum ini berkaitan penghantaran barang termasuk ke PKOB di MPT adalah terbatal," katanya.

Iklan

Menurut beliau, mesyuarat semalam turut memutuskan antara lain ialah penjaja bergerak menjual sayur atau ikan dibenarkan memasuki kawasan PKPD tetapi dengan syarat hendaklah menjalani ujian Covid-19.

Sementara itu, Joseph berkata penduduk yang kehabisan wang boleh berurusan dengan keluarga di luar untuk membantu mengambil wang di Mesin Pengeluaran Automatik (ATM), dan urusan seterusnya dilakukan di pos kawalan.

Beliau berkata dengan kelonggaran syarat itu, diharap penduduk dapat memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian Covid-19.

Semalam, penduduk Taman Semarak membuat bantahan aman merayu pihak berkuasa memberi kelonggaran berkaitan SOP PKPD yang dilaksanakan pada 26 Oktober hingga 8 November di kawasan itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ramai penduduk sudah kehabisan makanan'

MPT diminta arah pembekal makanan masuk ke Taman Semarak