PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta percaya pemain-pemain The Gunners mula memberikan tindak balas positif kekalahan saingan liga kepada Leicester City minggu lalu apabila mengatasi Dundalk 3-0 pada saingan peringkat kumpulan Liga Europa di Stadium Emirates.
Namun pada masa sama pengurus berusia 38 tahun itu mengingatkan barisan muda The Gunners tidak leka sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan menjelang aksi menentang Manchester United hujung minggu ini.
"Saya percaya pemain-pemain Arsenal menjadikan keseluruhan 90 minit perlawanan ini sebagai aksi yang mudah dimenangi dengan tahap disiplin tertinggi.
"Pemain-pemain menganggapnya serius apabila melakukannya sejak minit awal perlawanan lagi kerana bahaya jika anda tidak 100 peratus bersedia berdepan lawan yang berprospek menimbulkan masalah pada penghujung perlawanan.
"Kami membuat banyak perubahan, memberi peluang kepada pemain lain. Mereka layak mendapatkannya apabila menterjemah tindakan dengan penyudah bermain dengan baik," kata bekas tonggak Everton dan Arsenal itu.
Tampil beraksi di laman sendiri itu, anak-anak buah Arteta meledak tiga gol yang dihasilkan Eddie Nketiah pada minit ke-42', Joe Willock (44') sebelum Nicolas Pepe melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 pada minit ke-46.
Pada masa sama Arteta memuji komitmen tinggi dipamerkan Willock yang masih belum memperoleh minit perlawanan liga, namun tampil cemerlang apabila diturunkan pada saingan kejuaraan tahap dua kelab Eropah itu.
Jelasnya, beliau mahu memberikan semua pemain-pemain The Gunners peluang beraksi baik pada saingan domestik dan Eropah kerana Arsenal mempunyai skuad besar dan berdaya saing.
"Ada pemain yang sangat sabar dan berlatih dengan baik setiap hari dan hari ini mereka menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia ketika kelab ini amat memerlukan khidmat mereka.
"Hari ini juga mereka sekali lagi membuatkan saya dalam dilema apabila terpaksa melakukan pemilihan dalam kalangan pemain-pemain.
"Kadang kala ketika mereka tidak bermain, ia bukan sesuatu tugasan yang boleh mereka lakukan lebih banyak. Ini kerana kita harus memilih pemain dan kadang-kadang perlu mencari sesuatu yang lain.
'Kadang-kadang ia mengenai kualiti, kadang-kadang mengenai rancangan taktikal untuk permainan ini, tetapi saya sangat gembira dengan persembahan dan bagaimana reaksi mereka hari ini," katanya.