Terkejut bunyi dentuman kuat

Iklan
Norizan melihat siling yang rosak dan bumbung rumah yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Taman Perumahan Indera Mahkota 2, Kuantan malam tadi.

KUANTAN- Bunyi dentuman kuat dari tingkat dua rumah mengejutkan seorang suri rumah yang baru selesai mengerjakan solat Isyak dalam kejadian ribut dan hujan lebat, kira-kira jam 8 malam tadi.

Norizan Mohd Said, 56, berkata, sejurus mendengar bunyi itu, dia segera keluar dari bilik solat untuk memeriksa bunyi seperti letupan itu, dan melihat air hujan mengalir laju daripada tangga tingkat dua ke ruang tamu.

Iklan
Iklan

"Bila saya hampiri tangga, saya lihat ada serpihan batu-batu dan air hujan mengalir laju sehingga ke paras buku lali. Saya lihat siling rumah telah pecah serta bumbung rumah sudah diterbangkan ribut kuat.

"Saya segera hubungi anak untuk datang dan memeriksa keadaan rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Indera Mahkota 2, hari ini.

Iklan

Dalam kejadian malam tadi, sebanyak 75 rumah penduduk di taman itu rosak dilanda ribut dan kediaman Norizan antara yang terjejas teruk.

Menceritakan kejadian cemas itu, ibu kepada empat anak itu berkata, ketika kejadian dia berada berseorangan di rumah, manakala suaminya, Mohammad Ismail, 57, mengerjakan solat di masjid berhampiran.

Iklan

Katanya, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 meliputi pelbagai kerosakan barangan, selain terpaksa membaiki siling dan bumbung rumah.

"Ini kejadian pertama yang saya dilalui, walaupun kawasan ini pernah dilanda ribut dan hujan lebat sebelum ini.

"Tapi saya bersyukur kerana tidak cedera, walaupun rumah rosak teruk," katanya.

Penduduk melihat kerosakan yang dialami akibat kejadian ribut dan hujan lebat di Taman Perumahan Indera Mahkota 2, Kuantan malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Aziz Abdul Rahman, 58, berkata, sewaktu kejadian dia berada di masjid berhampiran rumahnya dan hanya isterinya yang berada di rumah.

Katanya, selepas pulang daripada masjid, isteri memaklumkan bumbung rumah tercabut akibat ribut kuat, kira-kira jam 7.30 petang.

"Kerosakan pada rumah saya tidak seteruk mana, tapi rumah dimasuki air akibat bumbung dibawa angin. Kalau ikutkan anggaran kerugian mungkin sekitar RM2,000 sahaja," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semuanya selamat dan pihak berkaitan juga ada menyalurkan bantuan segera bagi membantu meringankan bebannya sekeluarga.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan yang sesuai kepada 75 rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut kuat di Taman Perumahan Indera Mahkota Dua, malam tadi.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, bantuan yang sesuai kepada mangsa akan disalurkan selepas siasatan dilakukan oleh pegawai JKM.

"Saya difahamkan, kejadian malam tadi adalah yang terburuk dalam tempoh 10 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.