Najib minta semua bertenang susulan ciapan Tun M

Iklan
Kenyataan Najib menggesa semua pihak bertenang susulan ciapan kontroversi Dr Mahathir yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak bertenang dan membaca kenyataan penuh Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkaitan pembunuhan seorang guru di negara itu.

Katanya, beliau bukan mahu mempertahankan tindakan Dr Mahathir, sebaliknya semua pihak perlu bersikap adil kepada Ahli Parlimen Langkawi itu.

Iklan
Iklan

"Bukanlah nak defend (pertahankan) sangat tapi saya rasa dunia patut bertenang dan membaca kenyataan Tun Mahathir secara penuh dan dalam konteks penuh.

"Perlu adil kepada Tun Mahathir juga,” katanya dalam satu entri di Facebooknya hari ini.

Iklan

Semalam, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dikecam selepas kenyataannya untuk memboikot produk Perancis sebagai reaksi terhadap kenyataan mengenai Islam yang dibuat Presidennya, Emmanuel Macron.

Dalam satu ciapan di Twitter, Mahathir berkata, Macron ‘sangat primitif’ kerana menyalahkan Islam dan umatnya atas kematian seorang guru di Perancis yang dipancung baru-baru ini, dan menegaskan membunuh bukan ajaran Islam.

Iklan

Katanya, Perancis pernah membunuh berjuta-juta orang, kebanyakannya umat Islam.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib berkata, kenyataan Dr Mahtahir adalah pendapat peribadinya, bukannya Malaysia.

"Tapi Tun Mahathir juga ada membuat beberapa point dalam kenyataan dia yang kurang berfaedah untuk agama dan negara kita sebab Islam agama kedamaian, negara kita menghormati hak-hak wanita dan kita sentiasa cuba menjaga hubungan yang baik antara negara dalam dunia.

"Bila kita rasa pemimpin-pemimpin negara lain salah, kita tegur dan kecam dengan cara baik.

"Fokus pada individu. Bukan serang seluruh negara dan bangsa mereka. Kita tak patut perlekehkan negara-negara lain demi mencari gaduh,” katanya.