Dakwaan Pejuang tidak berasas: RoS

Iklan

PUTRAJAYA – Dakwaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bahawa belum ada tanda-tanda permohonan pendaftaran parti itu akan diluluskan tidak berasas sama sekali.

Parti itu mendakwa lebih dua bulan permohonan bertulis dan dalam talian dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Iklan
Iklan

RoS dalam satu kenyataan berkata, dakwaan itu tidak wajar kerana pihak Jawatankuasa Penaja Parti telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama bagi tujuan semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap permohonan tersebut seperti yang dinyatakan sendiri oleh Parti Pejuang dalam kronologi kenyataan media mereka bertarikh 29 Oktober 2020.

"Seperti yang dimaklumkan kepada Jawatankuasa Penaja Parti bahawa semakan terperinci perlu dilakukan pada setiap permohonan yang dikemukakan termasuk dokumentasi terutamanya perlembagaan yang merupakan rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar,” katanya hari ini.

Iklan

Menurut kenyataan itu, permohonan pendaftaran Parti Pejuang masih dalam penelitian dan semakan rekod jabatan sehingga 29 Oktober 2020, permohonan pendaftaran Parti Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan semakan permohonan pendaftaran dalam sistem eROSES.

"Bagi tujuan tersebut, pihak Jawatankuasa Penaja Pejuang diminta berhubung terus dengan jabatan itu bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.

Iklan

"Jawatankuasa Penaja telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, RoS sebagai sebuah jabatan yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar di Malaysia menegaskan agar pihak Jawatankuasa Penaja Parti untuk tidak menggunakan logo, lambang serta simbol sehingga pertubuhan tersebut didaftarkan secara sah di bawah Akta 335.

"RoS merupakan jabatan yang melaksanakan tugas dan fungsi dengan adil dan saksama berdasarkan Rule of Law selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” katanya.