KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga melihat kerjasama kukuh pelbagai agensi dalam negara serta komitmen mereka yang berterusan dalam misi memerangi wabak Covid-19.
Muhyiddin berkata beliau turut merasa sangat insaf melihat pengorbanan wira-wira negara yang tanpa henti berkorban masa dan tenaga untuk memerangi Covid-19.
Iklan
Iklan
"Mereka ini berjuang 'di perbatasan' meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa.
"Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya. Terima kasih Frontliners (petugas barisan hadapan). Anda adalah wira negara dan kami sangat berbangga dengan anda semua," katanya menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini.
Awal pagi tadi, Muhyiddin meninjau persiapan penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah dan Sarawak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang.
Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan atas khidmat bantuan penerbangan dilakukan TUDM yang memberi kemudahan kepada banyak pihak khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dalam misi menghantar peralatan dan petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak.
Katanya, rakyat di seluruh negara amat berterima kasih kepada anggota TUDM, KKM dan petugas barisan hadapan yang lain, atas komitmen berkenaan. - Bernama