MUAR - Zon Ekonomi Pagoh seluas 1,600 hektar yang bakal dibangunkan di sini tidak lama lagi akan merancakkan aktiviti ekonomi dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang mengumumkan perkara tersebut hari ini berkata, keputusan untuk membangunkan zon bebas cukai itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Pagoh beberapa minggu lepas yang dipengerusikannya dan turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta beberapa menteri berkaitan.
Muhyiddin berkata, zon ekonomi itu yang terletak bersebelahan Bandar Universiti Pagoh akan dibangunkan oleh Sime Darby Property dan bakal mengenal pasti syarikat-syarikat gergasi untuk melabur di zon berkenaan.
"Saya sedang cari banyak syarikat gergasi besar untuk datang ke Pagoh. Kalau itu kita dapat lakukan (bukan sahaja) peluang pekerjaan masyarakat Pagoh akan terjamin (tetapi) kegiatan ekonomi juga akan rancak.
"Saya juga sudah menemui syarikat besar yang ada kaitan dengan pemasangan kereta nasional untuk buat komponen kereta nasional di Pagoh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, projek berkenaan bakal memberi faedah jangka panjang kepada masyarakat di sini dan mahu mereka merebut peluang untuk sama-sama membangunkan kawasan Parlimen berkenaan.
"Ini penting sebab itu perancangan saya untuk Pagoh bukan setahun, bukan dua tahun. Dulu saya kata Pagoh akan ada universiti (Bandar Universiti Pagoh), hari ini universiti sudah dibangunkan,” kata Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh.
Menurutnya, dengan adanya zon berkenaan Pagoh bakal muncul sebagai kawasan baharu yang berpotensi besar untuk terus dibangunkan. - Bernama