PARIS - Benarlah bak kata pepatah, ‘kerana mulut, badan binasa’. Gara-gara mempertahankan tindakan biadab pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW, Presiden Perancis, Emmanuel Macron kini berdepan kecaman orang Islam di seluruh dunia.
Sejak beberapa hari lalu, protes anti-Macron semakin meningkat berikutan kenyataan berunsur Islamofobia yang dikeluarkan pemimpin tersebut hingga mencetuskan gerakan besar-besaran untuk memboikot produk Perancis di kebanyakan negara Islam.
Selain itu, segelintir Duta Perancis turut dipanggil di beberapa negara berhubung kenyataan beliau yang jelas menyinggung perasan orang Islam dan dikhuatiri menyemarakkan semula Islamofobia di Paris.
Sentimen anti-Islam di Perancis kembali meningkat selepas seorang guru dipenggal kerana perbuatan biadabnya menunjukkan karikatur Rasulullah pada awal bulan lalu.
Susulan kejadian tersebut, pemerintah bertindak menyasarkan masjid dan pertubuhan Islam di negara tersebut kononnya untuk memerangi gerakan radikal.
Ketika upacara memperingati mangsa, Macron dengan lantang menyerang Muslim dan mengangkat guru tersebut sebagai ‘wira kebebasan bersuara’ serta secara terang-terangan melancarkan permusuhan dengan orang Islam.
Pada awal bulan lalu, Macron juga mendakwa Islam sebagai agama yang sedang berada dalam ‘krisis’ di seluruh dunia dan mengisytiharkan perang ke atas golongan pemisah yang didakwa cuba mengambil alih Perancis yang mempunyai populasi kira-kira enam juta orang Islam.
Penganalisis percaya sentimen anti-Perancis yang semakin meningkat dipercayai akan mendorong perpecahan lebih meluas antara negara Eropah dan sebahagian dunia Islam seperti konflik yang tercetus bersama Turki ketika ini.
Pertelingkahan antara kedua-dua negara itu semakin tegang selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mempersoalkan kesihatan mental Macron berikutan pemimpin terbabit mengumumkan rancangan untuk melakukan ‘pembaharuan Islam’ atas alasan bagi memastikan ia lebih sesuai dengan nilai di Paris.
Macron yang bakal berdepan kempen pemilihan semula dalam tempoh 18 bulan akan datang kini berdepan tekanan daripada parti konservatif dan berhaluan kanan untuk menyasarkan golongan ekstremisme di negara itu. - AFP