Tumbuk, pukul isteri dengan besi kerana cemburu

Iklan
Polis merampas besi dan parang yang digunakan dalam kejadian itu.

KUALA SELANGOR - Seorang suri rumah cedera selepas ditumbuk dan dipukul dengan besi oleh suaminya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Tanjong Karang pada Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, suspek dipercayai memukul isterinya selepas mengesyaki wanita itu ada hubungan dengan lelaki lain.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, ketika kejadian, mangsa bersama anak bongsunya berusia 12 tahun sedang menonton televisyen.

Menurutnya, suspek berusia 53 tahun keluar dari bilik tidurnya dan mengambil telefon bimbit anak bongsu mereka.

Iklan

"Suspek kemudian terus membaling telefon bimbit itu ke dinding hingga pecah.

"Selepas itu, suspek meminta telefon bimbit mangsa, namun tidak diendahkan hingga menyebabkan suspek marah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Ramli Kasa berkata, suspek kemudian pergi ke dapur mengambil besi dan memukul mangsa di bahagian atas kepala sebelah kiri sebanyak dua kali.

"Mangsa kemudian terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri selepas suspek cuba mengambil parang di dapur sebelum tampil di balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang patah jari kiri, bengkak di bahagian leher dan luka di kepala mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Katanya, berdasarkan risikan dan maklumat, polis berjaya menahan suspek di Tanjong Karang pada Khamis lalu.

"Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku memukul isteri dan memecahkan telefon bimbit anaknya disebabkan cemburu terhadap isterinya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK)/326A KK," katanya.