SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesedihan dan simpati beliau kepada rakyat Turki susulan gempa bumi yang melanda wilayah Izmir di negara itu semalam.
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Anwar berkata, rakyat Malaysia turut mendoakan untuk mereka yang kehilangan nyawa, mengalami kecederaan, tempat tinggal atau mata pencarian akibat bencana alam itu.
"Saudara dan saudari yang dihormati Republik Turki, dengan sangat sedih kami menerima berita mengenai gempa bumi yang melanda wilayah Izmir hari ini (semalam).
"Rakyat Malaysia akan mendoakan negara Turki yang kita bersaudara dan memohon kepada ALLAH Yang Maha Kuasa, untuk meringankan keperitan dan penderitaan mereka yang terjejas," katanya.
Satu kejadian gempa bumi kuat melanda Laut Aegea pada Jumaat sehingga gegaran itu dirasai di Greece dan Turki.
Memetik laporan Reuters, beberapa bangunan di wilayah Izmir turut runtuh akibat gegaran berukuran 7.0 yang melanda sekitar jam 2:50 tengah hari waktu tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Gempa kuat gegar Turki dan Greece