KUANTAN - Dewan Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Negeri Pahang menerusi Muafakat Nasional (MN) Pemuda Pahang bersiap sedia melaksanakan program bersama di peringkat negeri dan kawasan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pahang, Airieroshairi Roslan berkata, perbincangan mengenai perkara itu diadakan pada malam Khamis lalu menjadi penanda aras bahawa MN Pemuda Pahang sedia bergerak bersama di semua peringkat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Farid Mohd Nor serta semua kepemimpinan Pemuda kedua-dua parti.
"MN Pemuda Pahang juga menyambut baik saranan pelaksanaan penstrukturan ahli jawatankuasa (AJK) gabungan itu dilakukan di peringkat kawasan dan bahagian.
"Dalam pertemuan ini MN Pemuda Pahang juga akan bekerjasama lebih terperinci bagi memastikan MN yang sedang terbina ini dipelihara," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Airieroshairi berkata, Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Pahang berdiri teguh di belakang barisan kepemimpinan untuk terus memperkukuh MN dan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kesepakatan itu terus mempersetujui bahawa tidak sekali kali akan bekerjasama dengan Parti Keadlian Rakyat dan DAP serta sekutu mereka di dalam Pakatan Harapan Plus.