SHAH ALAM - Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berpuas hati dengan Belanjawan Selangor 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semalam.
Penyelianya, Roslida Udin berkata, belanjawan tersebut dilihat mampu memberi impak positif terhadap perkembangan sosial dan ekonomi masyarakat.
"Daripada RM2.3 bilion peruntukan belanjawan itu, sebanyak RM71.3 juta diperuntukkan bagi memperkasa agenda wanita dan keluarga.
"PWB Selangor diperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan aktiviti pembangunan ekonomi dan usahawan wanita di bawah Hab Wanita Berdaya yang akan dijayakan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, jawatankuasa PWB yakin pengumuman itu tersebut dapat memartabatkan peranan wanita.
"Kami akan terus berusaha membantu golongan ini untuk terus berdikari dan mampu mencari atau menambah sumber pendapatan keluarga melalui pelbagai program.
"Saya juga berbesar hati dengan penganjuran Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang akan diteruskan tahun depan. Ia membantu mempromosi produk peserta terdiri suri rumah daripada keluarga B40, ibu tunggal, orang kurang upaya dan lain-lain," katanya.
Kerajaan Selangor semalam membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.
Daripada jumlah itu sebanyak RM1.2 bilion atau 53 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM1.1 bilion atau 47 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.