SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan perlu tangguh hasrat melaksanakan langkah pengukuhan fiskal dalam Belanjawan 2021 sekiranya mahu membantu rakyat yang terkesan akibat gelombang ketiga koronavirus (Covid-19).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasrat tersebut mesti ditangguhkan seketika buat masa ini sehingga tahun 2022 dan mengambil sikap optimis dengan jangkaan bahawa ekonomi negara pulih sepenuhnya pada waktu tersebut.
Menurutnya, peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, demi matlamat penting iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia paling terkesan dan memulihkan kehidupan mereka.
"Buat masa ini, naratif untuk mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh. Usahlah dirisaukan sangat had hutang negara yang baru-baru ini telah dinaikkan kepada 60 peratus daripada KDNK.
"Hutang negara adalah untuk kita uruskan kemudian dan buat masa ini urusan utama dan terpenting Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.
Menurutnya, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan ekonomi berbentuk keluk-K jika keadaan semasa yang berlaku buat masa ini terus berlanjutan.
"Maksudnya pemulihan berbentuk keluk-K ialah ada sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutama industri pelancongan dan penerbangan akan terus jatuh merudum.
"Berbanding golongan berpendapatan tinggi, pemulihan keluk-K ini akan lebih terlihat nyata dalam kalangan masyarakat golongan B40 dan M40 yang bekerja sendiri, di mana mereka kehilangan mata pencarian dan ini akan menjejas kualiti kehidupan dengan teruk," ujarnya.
Akibat daripada keadaan tersebut, Mohamad berkata, ia berpotensi untuk melebarkan lagi jurang ketidaksamarataan ekonomi di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti perlulah bersifat belanjawan mengembang, demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk.
"Inilah masanya kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit.
"Kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan mereka terpaksa ditutup buat selamanya sementara ekonomi negara pula terperangkap dalam kerosakan yang sukar untuk dipulihkan atau apa dipanggil ‘irreversible damage’,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru kerajaan supaya menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 dengan menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).
Ujarnya, penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit,” katanya.
Namun, Mohamad menegaskan strategi menggandakan perbelanjaan dan rangsangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah sebuah lesen atau ‘blank cheque’ untuk kerajaan berbelanja secara boros.
Katanya, perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan serta dilaksanakan dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan.
"Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan,” katanya.