Pemandu Grab, kerani ditipu sindiket pinjaman wang tak wujud

Iklan
Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS - Seorang pemandu Grab dan kerani kerugian selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu Grab berusia 63 tahun itu kerugian RM10,360 manakala kerani berusia 31 tahun pula sebanyak RM3,050.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu Grab itu mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000, namun diminta membuat bayaran proses dan bayaran pengaktifan akaun terlebih dahulu.

"Lelaki dari Sungai Ara itu telah melayari laman sosial Facebook lalu meninggalkan maklumat peribadi pada iklan pinjaman wang berlesen yang kononnya diiklankan oleh pihak bank tempatan.

Iklan

"Mangsa kemudiannya telah berkomunikasi dengan seorang lelaki yang mendakwa ejen bank yang menawarkan pinjaman peribadi secara dalam talian.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah membuat empat transaksi wang ke tiga buah akaun bank yang diberikan suspek berjumlah RM10,360," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Iklan

Sementara itu, Noorzainy berkata, kerani itu juga ingin membuat pinjaman sebanyak RM15,000, namun diminta membuat bayaran proses dan bayaran pengaktifan akaun terlebih dahulu.

"Wanita dari Bertam itu dikatakan telah melayari laman sosial Google dan meninggalkan maklumat peribadi pada iklan pinjaman wang berlesen.

"Dia kemudiannya telah berkomunikasi dengan seorang wanita yang mendakwa ejen syarikat pinjaman wang berlesen yang menawarkan pinjaman peribadi mudah lulus," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang langsung tidak mengesyaki ditipu telah membuat dua transaksi wang ke dua buah akaun bank yang diberikan ejen syarikat berjumlah RM3,050.

"Mangsa berasa ditipu setelah diminta buat tambahan wang lalu datang ke balai membuat laporan polis.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun-akaun individu terbabit.