Petugas kesihatan jalani tapisan ketat sebelum dihantar ke Sabah

Iklan
Kolaboratif Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Jabatan Kesihatan Sabah baik dan kerap mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah berbangkit.

BAGAN SERAI - Petugas kesihatan dan sukarelawan perlu menjalani saringan dan tapisan yang ketat sebelum dihantar ke Sabah bagi membantu memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tapisan itu memfokuskan kepada kepakaran, pengalaman dan tahap kesihatan.

Iklan
Iklan

"Kita telah menggerakkan pekerja kesihatan dari seluruh negara dan kita buat saringan sebelum ke Sabah. Jabatan Kesihatan Negeri pula akan hantar ke lokasi yang diperlukan.

"Begitu juga dengan sukarelawan, kita menerima antara 2,000 hingga 3,000 sukarelawan tetapi 100 atau 200 sahaja yang dilepaskan. Bukan semuanya dihantar kerana perlu jalani tapisan ketat. Jadi kenyataan pergi sana tidak buat kerja, saya tidak setuju,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan petugas kesihatan menerusi portal berita kononnya petugas kesihatan dari Semenanjung Malaysia yang dihantar ke Sabah belum dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja.

Noor Azmi ditemui pemberita pada program Jejak Kasih Menteri Besar dan Exco Pendidikan Negeri ke Parlimen Bagan Serai di Surau Al-Hidayah, Bukit Merah di sini hari ini.

Iklan

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menyangkal dakwaan kononnya berlakunya kelemahan kemudahan kesihatan di Negeri Bawah Bayu itu.

Menurutnya, kementeriannya sentiasa bekerja keras dalam berusaha melandaikan keluk kes jangkitan Covid-19 negara dengan menyediakan fasiliti yang diperlukan.

"Kecukupan kelengkapan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), sumber manusia, katil, pusat kuarantin, ubat dan keupayaan makmal, perkara itu semuanya dibincangkan setiap hari di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Kita tahu perhubungan yang jadi masalah kerana jauh tetapi kerajaan berusaha yang terbaik dalam mencari jalan penyelesaian termasuk persediaan akan datang. Ada masalah tetapi kita berjaya selesaikan setakat ini," katanya.

Katanya, kolaboratif kementeriannya bersama Jabatan Kesihatan Sabah berjalan sangat baik dengan kerap mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah berbangkit.