42 penduduk Flat Sungai Emas, Taman Sungai Emas positif Covid-19

Iklan
Keadaan terkini Flat Sungai Emas, Banting susulan pelaksanaan PKPD yang berkuatkuasa 28 Oktober lalu.

BANTING - Seramai 42 penduduk di Flat Sungai Emas dan Taman Sungai Emas di sini, disahkan positif koronavirus (Covid-19) setakat hari ini setelah ujian saringan yang dilakukan sejak 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, jumlah itu dikesan hasil saringan ke atas 1,015 penduduk di kawasan terbabit dan 941 orang disahkan negatif manakala selebihnya lagi masih belum diperoleh keputusan.

Iklan
Iklan

"Sebagai langkah susulan, kita bersama pihak kesihatan akan mengesan kontak rapat kesemua individu yang disahkan positif untuk ujian saringan.

"Selain itu, kita juga mendapati sebanyak 67 buah rumah membabitkan 268 penduduk telah meninggalkan kediaman mereka beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar dilaksanakan di kawasan terbabit.

Iklan

"Dipercayai mereka ini pulang ke kampung. Kita gesa kesemua mereka agar hadir untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dengan segera," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Flat Sungai Emas hari ini.

Anggota keselamatan melaksanakan kawalan di laluan keluar dan masuk Flat Sungai Emas dan Taman Sungai Emas, Banting hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tahap kepatuhan penduduk adalah baik dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Iklan

"Diingatkan semua penduduk agar patuh arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan arahan kuarantin wajib bagi mengekang pandemik Covid-19," katanya.

PKPD itu membabitkan keseluruhan tujuh blok Flat Sungai Emas dan perumahan teres yang terletak di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Taman Sungai Emas di sini.

PKPD itu dilaksanakan bermula 28 Oktober sehingga 10 November berikutan peningkatan kes positif kluster Bah Manggis di kawasan tersebut.